June 23, 2009
MGTF National 2009
Photos by Tok Kapor
Klik gambo utk beso...
Tadop citer .... wi gambo doh lah dulu...
Paling bagus bila dapat jumpa kawan lama dan Angkatan Belia Perut TKD Malaysia spt Nordin, Eizam, Ripin etc. (Adam, Mahesan, Alvin ...belum boleh daftar masuk lagi kerana saiz minimum belum tercapai). Presiden angkatan bagaimana pun tidak menghadirkan diri...ehem...ehemm...
Kali ni senior member PTNT pun turun menyokong macam Rahman, Buden, Tun & Faiz ... mereka ini juga ahli angkatan ...
Macam biasa bos dan ahli kontinjen PTNT buat gempak gempur dan gertak....
Nasree tolong 3 Emas (2 individual event + 1 special technique - tidak dikira dalam kutipan keseluruhan kontinjen) dan 2 Gangsa (team pattern + team sparring).
Another 2 golds by Raidah (Mid.Weight sparring) and sorang lagi yg pattern 4th Dan ....
Esoknya Nasree masuk MHI jam 7:00am yg mana ramai tak tengok sebab tido...
June 15, 2009
Pre MGTF National 2009
June 13, 2009
Bila Runtuh...
June 12, 2009
June 10, 2009
Sharing Noordin's
Link :- http://sirnoordin.blogspot.com/2009/06/what-goes-around-comes-around.html
It is a good story to share with.
My colleague Ustaz Ajak used to write with similar motive :-
http://catatanseorangaku-ajako.blogspot.com/2009/03/kama-tadinu-tudan.html
June 08, 2009
Masjid Yang Pertama
|
Menjadi satu kemestian bagi mereka yang mengikuti program ziarah ke Tanah Suci untuk dibawa ke sini bagi mengenali tempat yang menjadi sebahagian daripada sejarah bertapaknya Islam di bumi ini. Masjid Quba adalah salah sebuah masjid yang paling suci dan jika mengikut turutan:- Masjidil Haram - Masjid Nabawi - Masjidil Aqsa - Masjid Quba.
Dalam Al-Quran ada menyebut:-
Yang bermaksud: Kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
Masjid ini disiapkan oleh para Muhajirin selama 20 malam. Ia menjadi begitu penting dalam amalan penduduk setempat sehingga kini kerana mengikut sunnah Nabi dan fadhilatnya yang amat besar; ketika bertapaknya Masjid Nabawi di Mainah, Nabi kita sering mengunjungi Masjid Quba pada setiap hari Sabtu dan kadang-kadang pada hari Isnin untuk solat.
Menurut Riwayat At-Turmizi, Nabi bersabda bahawa : "Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah."
Masjid Quba yang ada sekarang adalah pembinaan semula oleh Kerajaan Saudi dan boleh dikatakan semua struktur tersebut adalah yang baru. Tindakan kerajaan untuk meruntuhkan struktur lama mungkin ada sebabnya dari segi keselamatan oleh kerana strukturnya yang sudah usang. Saya berpendapat salah satu yang memain peranan runtuhnya masjid Quba yang lama adalah disebabkan oleh pengaruh Wahabi yang tidak mahu sebarang unsur-unsur bida'ah oleh pengunjung masjid ini.
June 04, 2009
Aina Bi'ru Zam-Zam?
SN: "Aina bi'ru zam-zam?"
Haj: "Ma fi..."
SN: "Ma fil Aaan?"
Haj: "Mawjud...Lakin ma fid dukhul"
SN: "Dukhul mamnu'an??? Aina baabuhu?"
Haj: "Babun ma fi. Bi'run mawjud hunak."
Laluan bawah ke telaga zam-zam.
Telaga zam-zam yang ditutup dan dilengkapi pam.
Tempat minum zam-zam dan wudhu'.
Gambar di bawah ini menunjukkan tanda kedudukan telaga zam-zam selepas ianya ditutup. Gambar ini saya ambil di Muzium.
Sejarah Pembinaan Telaga Zamzam.
Pembinaan Telaga Zamzam:
Orang pertama menggunakan kain yang mempunyai lebihan labuh di belakang dari kalangan wanita ialah ibu Nabi Ismail a.s yang digunakan untuk menyembunyikan kesan kakinya daripada Siti Sarah. Nabi Ibrahim a.s membawa ibu Nabi Ismail (Siti Hajar) serta anaknya Nabi Ismail a.s yang masih lagi menyusu dan kemudian meninggalkannya berhampiran Kaabah di sebatang pokok yang besar di atas Zamzam. Ketika itu Kota Mekah masih belum berpenghuni serta tidak mempunyai air. Nabi Ibrahim a.s meninggalkan mereka berdua di sana. Diletakkan di sisi mereka berdua sebungkus buah tamar dan sebekas air. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertolak pulang, lalu baginda diikuti oleh ibu Nabi Ismail a.s lalu bertanya: Wahai Ibrahim! Ke manakah kamu hendak pergi dan meninggalkan kami di lembah yang tidak mempunyai seorang manusia dan apa-apa pun ini? Siti Hajar bertanya mengenai perkara itu berkali-kali, tetapi baginda tidak menghiraukannya. Siti Hajar bertanya lagi: Adakah Allah memerintah kamu berbuat begini? Baginda menjawab: Memang benar. Isterinya berkata: Kalau begitu tiada halangan bagi kami. Kemudian ibu Nabi Ismail kembali semula ke tempatnya, lalu Nabi Ibrahim a.s bertolak pergi sehingga baginda tidak kelihatan lagi. Setelah itu Nabi Ibrahim a.s menghadapkan mukanya ke arah kiblat (Kaabah sekarang ini) kemudian terus mengangkat tangan sambil berdoa yang bermaksud:
Yang bermaksud: (Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ditumbuhi tanaman, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur).
Sepeninggalan Nabi Ibrahim a.s, ibu Nabi Ismail a.s menyusukan anaknya dan memberi minum air yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s di dalam bekas. Apabila air di dalam bekas itu habis, anaknya terus kehausan. Kerana tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang kehausan, Siti Hajar terus menuju ke bukit Safa yang paling hampir dengan tempat beliau duduki. Beliau berdiri di atas bukit itu dan berpaling ke lembah untuk melihat kalau-kalau ada seseorang. Siti Hajar tidak melihat walau seseorang pun ada di sana, lalu beliau turun semula dari bukit Safa sehingga menghampiri perlembahan tersebut.
Kemudian beliau menuju ke bukit Marwah dan berdiri di atasnya untuk melihat kalau-kalau ada seseorang di sana. Tetapi beliau tidak juga mendapatinya. Beliau melakukan keadaan sedemikian sebanyak tujuh kali. Ketika berada di atas bukit Marwah, Siti Hajar telah mendengar suatu suara membisikkan kepadanya: Diamlah. Siti Hajar cuba memerhatikan suara tersebut. Suara itu masih tetap kedengaran, lalu suara tersebut berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar bahawa di sisimu ada pertolongan. Tiba-tiba dia mendapati malaikat menunjukkan tempat Zamzam, lalu beliau terus menggalinya dengan tumit, ada yang mengatakan beliau menggali dengan menggunakan kedua tangannya sehingga keluar air. Kemudian beliau membatasinya dan beliau berkata dengan tangannya begini untuk memenuhkan bekasnya dengan air tersebut, setelah bekasnya dipenuhi dengan air beliau terus berlalu untuk meminum dan menyusu anaknya, lalu malaikat berkata kepadanya: Janganlah kamu takut kepada kesusahan, sesungguhnya di sana akan dibina sebuah rumah Allah (Baitullah) yang akan dibina oleh kanak-kanak ini dan ayahnya, sesungguhnya Allah tidak akan menyusahkan keluarganya.
Setelah itu beliau bertemu dengan satu rombongan dari Jurhum lalu mereka turun dan menuju ke kawasan yang paling rendah di Mekah, mereka melihat burung-burung berterbangan dan berkata, sesungguhnya burung-burung ini berterbangan mengelilingi air, kami percaya bahawa di lembah (wadi) ini terdapat air, mereka mengutus seorang atau dua orang untuk melihatnya dan utusan tersebut mendapati di sana terdapat air lalu kembali dan memberitahu kepada rombongan mereka. Lalu mereka meminta kebenaran dari ibu Ismail untuk pergi mendapatkan air tersebut, ibu Nabi Ismail membenarkannya dengan berkata: Ya, tetapi jangan kamu jadikan air itu sebagai hak kamu, mereka menjawab: Ya.
Menggali Semula Zamzam:
Ketika Abdul Mutalib sedang tidur di Hijir, datang seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah "Barrah" (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: Apakah Barrah? Sehingga keesokan harinya pula, beliau tidur di tempat yang sama. Lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah "Madnunah" (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: Apakah Madhnunah? Kemudian beliau pun beredar dari situ sehinggalah keesokan harinya, beliau kembali tidur di tempat yang sama. Lalu datang lagi seseorang di dalam mimpinya dan berkata kepadanya: Galilah "Tayyibah" (iaitu nama telaga Zamzam). Beliau menjawab: Apakah Tayyibah? Pada hari yang keempat, beliau bermimpi lagi dan telah dikatakan kepada beliau: Galilah Zamzam. Beliau menjawab: Apakah Zamzam? Beliau berkata: Janganlah kamu menimba air itu dan membatasnya. Kemudian beliau ditunjukkan
tempatnya. Setelah itu baginda menggalinya sebagaimana yang telah ditunjukkan kepadanya. Orang-orang Quraisy bertanya kepada beliau: Apakah ini semua wahai Abdul Mutalib? Beliau menjawab: Aku diperintahkan supaya menggali telaga Zamzam. Ketika dijumpai Zamzam dan melihat patung kijang. Orang-orang Quraisy terus mempercayainya. Abdul Mutalib terus menggalinya. Beliau menemui dua ekor patung kijang yang diperbuat dari emas. Kedua-duanya adalah patung kijang yang ditanam oleh Bani Jurhum ketika mereka keluar dari Mekah. Tempat tersebut merupakan telaga Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim a.s. Setelah Abdul Mutalib menggali
telaga Zamzam dan setelah Allah tunjukkan tempat serta memilih beliau untuk menggali Zamzam, Allah s.w.t telah menambahkan kemuliaan beliau dengan sebab Zamzam tersebut dan kaumnya juga dapat menikmatinya.
Sumber Online Kerajaan Arab Saudi
Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Nasihat.
June 03, 2009
Maqamun Nabiyyi
Sejak Rasulullah SAW wafat pada tahun 11 H (632 M), rumah Rasullullah SAW terbahagi kepada dua iaitu bahagian arah kiblat (Selatan) yang menempatkan makam Rasulullah SAW dan bahagian Utara pula adalah tempat tinggal Aisyah.
Sejak tahun 678 H. (1279 M) Kubah Hijau (Green Dome) dibina di atas Makam yang mana kubah tersebut masih lagi kelihatan utuh dan menjadi penanda penting sehingga sekarang. Tepat di bawah Kubah Hijau itulah jasad Rasullullah SAW dimakamkan. Di situ juga dimakamkan dua orang sahabat iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Khalifah Pertama) dan Saidina Umar Al-Khattab (Khalifah Kedua).
Kalau dahulu saya masih sempat menghampiri pagar makam dan cuba mengintai dalamnya, tapi kini kawalan semakin ketat, pelawat langsung tidak dibenarkan menyentuh pagar. Sememangnya kawalan sebegini terpaksa diadakan oleh kerana terdapat jemaah yang bertindak taksub dan melakukan perkara bida'ah seperti menangis, meronta dan mengusap-usap pagar dan sebagainya. Alhamdulillah jemaah dari Malaysia tidak ada yang bertindak demikian.
Menziarahi Makam Rasul sama seperti menziarahi perkuburan, kita disunatkan memberi salam dan seterusnya berdoa mengadap kiblat. Walaupun ada bentuk salam yang khusus dan panjang untuk Rasulullah dan dua sahabat di makam ini, ayat pendek dan yang termudah adalah lebih baik seperti "Assalamualaika Ya Rasulallah" dan untuk dua sahabat seperti "Assalamualaika Ya Aba Bakri" - "Assalamualaika Ya Umar".
Sebenarnya untuk memberi salam dan menyampaikan salam dari rakan kita yang mengirim tidak semestinya dibuat dengan melalui atau mendekati Makam. Di luar Masjid pun boleh jika didapati tempat itu penuh jemaah. Alhamdulillah saya telah menyampaikan salam daripada rakan dan ahli keluarga saya yang pohon disampaikan salamnya kepada Nabi Agung kita. Dikisahkan oleh Muttawwif kami bahawa setiap ziarah ke Makam Rasul dan salam yang diberi atau disampaikan akan dijawab oleh Nabi kita seolah-olah ianya diberi semasa hidupnya.
Masih kedapatan yang tidak memahami tentang adab berdoa - masih ada yang menadah tangan mengadap Makam dan membelakangi kiblat. Biasanya penjaga Makam akan menegur supaya berpaling ke arah kiblat. Pengawal Makam pula akan memastikan jemaah tidak berhenti terlalu lama dan disuruhnya cepat-cepat bereda agar tidak mengganggu laluan.
Raudhah
Biasanya selepas kita melalui kawasan Makam terus sahaja kita cuba mendapatkan tempat di Raudhah.
Raudhah terletak "antara Mimbar Nabi dan Rumahnya". Tempat ini mudah dikenalpasti kerana warna permaidaninya berlainan iaitu berwarna hijau dan ditanda dengan tiang putih yang bercorak. Raudhah bermaksud "Taman" dan juga salah satu nama syurga.
Pada musim Haji, memang sukar untuk kita mendapat tempat untuk sembahyang di kawasan ini. Sebab itu jika kita dikurniakan rezeki dan diizin Allah, ziarahlah ke Tanah Haram di luar musim Haji agar kita merasai kedinginan berdoa di Raudhah.
Tempat ini tetap sibuk dan sentiasa penuh walaupun di luar musim Haji. Jika kita ingin mendapat tempat, dapat sahaja masuk kawasan Raudhah, cuba tetapkan kedudukan dan jangan berganjak untuk mencari tempat kosong kerana sememangnya tidak akan ada atau payah sangat untuk mendapat peluang sebegitu. Jadi, kita cuba berdiri begitu hampir dengan seseorang yang sedang solat atau berdoa, tunggu sehingga dia habiskan solat dan doanya dan terus sahaja kita ambil tempatnya. Kadang-kadang kita perlu juga meminta belas supaya orang itu beredar dan memberi peluang kepada kita. Itulah nasihat Muttawwif.
Ziarah Wida'
Sebelum meninggalkan Madinah Al-Munawwarah, biasanya jemaah menziarahi Makam Nabi dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Amalan ini hukumnya tidak wajib, tidak seperti Tawaf Wida' (apabila meninggalkan Makkah Al-Mukarramah). Semasa Ziarah Wida' selepas mengucap salam seperti biasa, kita mengiringi doa dan dalam doa itu kita memohon kepada Allah supaya ziarah ini tidak akan menjadi ziarah yang terakhir buat kita dan semoga dilimpahi rezeki serta peluang untuk kita hadir lagi di sini pada masa akan datang.
June 02, 2009
Ziaratul Baqi'
Selepas subuh dari Masjid Nabawi dan makan pagi, Muttawwif memimpin kumpulan kami menziarahi Perkuburan Baqi bersebelahan Masjid Nabawi dan seterusnya Makam Rasulullah SAW bersama dua khalifah pertama di dalam masjid. Adapun menziarahi perkuburan adalah untuk mengingati kematian. Bukan untuk meratapinya. Dan sebagaimana biasa kita disunatkan memberi salam kepada "ahlil-qubur".
Perkuburan Baqi adalah tempat bersemadinya kebanyakan ahli keluarga Nabi kita dan para sahabat seperti Khalifah Uthman bin Affan dan anak-anak Nabi.
Salam khusus untuk "Ahlul Baqi'" sebagaimana diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW :-
السلام عليكم دار قوم مؤمنين أو السلام عليكم أهل الديارِ من المؤمنين والمسلمين ويرحم الله المستقدمين منا والمستأخرين وإنا إن شاء الله بكم لاحقون
Yang bermaksud: Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni tempat tinggal orang-orang yang beriman dan orang-orang Islam. semoga Allah mengasihi orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian. Sesungguhnya kami akan mengikuti kamu.
Diriwayatkan juga bahawa nabi s.a.w bersabda :-
أنا أول من تنشق عنه الأرض - يوم القيامة - فأكون أو ل من يبعث، فأخرج أنا وأبكر وعمر إِلى أهل البقيع فيبعثون ثم يبعث أهل مكة فأحشر بين الحرمين
“Akulah orang yang pertama dikeluarkan daripada pecahan bumi pada hari kiamat dan akulah juga orang yang pertama dibangkitkan. Aku, Abu Bakar dan Umar r.a akan keluar ke perkuburan Baqi’, lalu membangkit mereka. Kemudian membangkit penduduk Mekah. Oleh itu, mereka akan berkumpul diantara dua Tanah Haram."
Sesungguhnya ada seramai 10,000 orang sahabat yang telah dikebumikan di Madinah Munawarrah. Rasulullah SAW mengajar kita menziarahi kubur hanya untuk mengingatkan kita kepada kematian dan hari Akhirat dan berdoa kebaikan kepada yang telah pergi. Apabila berdoa kita hendaklah mengadap kiblat, bukan mengadap kubur atau makam. Ini perlu difahami bagi menghindarkan dari syirik atau menyekutukan Allah. Doa yang kita baca adalah memohon ke hadrat Ilahi bukan memohon daripada perkuburan.
Di setiap perkuburan, kerajaan Saudi meletakkan papan tanda peringatan. Gambar di bawah ini saya ambil di Jabal Uhud dan bukannya di Baqi' tetapi isikandung papan yang diletak di Baqi' lebih kurang sama maksudnya (klik untuk besarkan):-
Papan tanda di Baqi' pula berbunyi antara lainnya (dalam bahasa Indonesia):-
"Ziarahilah kubur karena itu bisa mengingatkan kepada akhirat". Kemudian Rasulullah SAW ketika masuk ke pekuburan selalu memberi salam kepada ahli kubur. Rasulullah juga bersabda "Jangan duduk diatas kuburan dan jangan sholat menghadapnya".
Rasul melarang berdoa kepada orang yang telah mati dan meminta manfaat atau pencegahan dari bahaya. Allah SWT berfirman "Dan berhala yang kamu seru selain Allah tidaklah sanggup menolongmu, bahkan tidak sanggup menolong dirinya sendiri".
Sabda Rasulullah SAW "Jika kamu ingin meminta, mintalah kepada Allah dan jika kamu ingin memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah".
Begitulah peringatan-peringatan yang disediakan oleh kerajaan yang bertujuan menghindarkan dari perbuatan-perbuatan yang tidak seharusnya diamal oleh muslim yang melawat tempat-tempat bersejarah seperti ini.
Kawasan perkuburan Saidina Uthman kelihatan dikawal rapi oleh tentera Saudi. Kami tidak menghampiri kawasan tersebut kerana mengikuti Muttawwif untuk terus menuju ke Masjid Nabawi bagi ziarah seterusnya Makam Rasulullah, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan bersolat sunat di Raudhah, salah satu taman Syurga kelak.
Sumber maklumat tambahan:-
1) www.hajiumroh.com
2) hajj.al-islam.com
3) haji-2008.blogspot.com
June 01, 2009
Jabal Uhud Wa Asadullah Hamzah (Rodhiallahu Anhu)
Gunung Uhud dan Hamzah Singa Allah
“Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita (juga) mencintainya.” (Hadith riwayat Anas RA)
Jabal Uhud atau Gunung Uhud adalah salah satu lokasi yang cukup penting dalam sejarah Islam. Di gunung inilah pasukan muslim digempur habis-habisan oleh bala tentera kafir Quraisy pada 3 Hijriah. Menziarahinya kita akan mengambil hikmah tentang pahit getir perjuangan Rasulullah dan para sahabat mempertahankan Islam.
Jabal Uhud terletak tidak berapa jauh dari pusat Kota Madinah. Lokasinya berada sekitar enam kilometer arah utara Masjid Nabawi. Gunung tersebut bukan termasuk dalam rangkaian pegunungan yang berjajar dan sambung-menyambung mengelilingi Madinah. Uhud merupakan gunung yang terpisah. Perkataan “uhud” itu sendiri bermaksud “menyendiri”.
Meskipun menyendiri, Gunung Uhud tetap kelihatan dari jauh. Dari Masjid Nabawi, gunung yang membentang sepanjang 7 kilometer dengan puncak setinggi 1.050 meter itu seumpama raksasa yang sedang tidur.
Tapi jangan bayangkan gunung tersebut kelihatan hijau dan subur seperti gunung-gunung di tempat kita. Uhud tidak banyak bezanya dengan gunung-gunung lain di tanah Arab yang berbatu dan tandus. Dikatakan batu yang menjadi badan Uhud itu mengandungi granit, marmar merah dan batu-batu mulia. Oleh sebab itu jauh Gunung Uhud kelihatan kemerahan.
MAYAT YANG TIDAK REPUT
Kami menziarahi Makam Saidina Hamzah R.A yang syahid di situ bersama para syuhada' yang lain. Menurut Muttawif kami Ustaz Anuar, tempat ini pernah dilanda banjir besar sehinggakan tanah-tanah bukit terhakis dan terjerlus. Menurutnya banjir tersebut telah menyebabkan jasad para syuhada' kelihatan. Justeru proses mengebumikan semula dibuat dan diperintah oleh pihak kerajaan pada masa itu. Maklumat yang saya perolehi adalah banjir besar itu berlaku dalam tahun 46 Hijrah. Makam Saidina Hamzah dan Abdullah bin Jahsy tidak terkecuali terhakis sehingga jasad keduanya kelihatan di permukaan. Diceritakan, jasad kedua-duanya masih kelihatan tidak reput walaupun setelah 43 tahun dikuburkan.
Ketika proses pengebumian semula tersebut apabila tangan Saidina Hamzah yang menutupi luka di tubuhnya tergeser darah segarnya mengalir seperti jasad orang yang baru saja meninggal. Jasad kedua-dua tokoh syuhada' ini dimakamkan kembali tidak jauh dari makam 68 syuhada Uhud yang lain dan ditanda dengan batu hitam yang mengelilingi makam sebagaimana yang ada sekarang. Saya memperoleh maklumat bahawa pemindahan jasad-jasad ini dibuat oleh ulama'-ulama' yang ditugaskan oleh kerajaan tanah Arab ketika itu.
PERANG UHUD
Salah satu peristiwa yang boleh dipelajari adalah peperangan kedua antara kaum kafir Quraisy dengan para muslimin pada tanggal 15 Syawal 3 H. Peperangan ini sudah disiap sedia oleh kaum Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufyan setelah kekalahan besar mereka di bukit Badar sebelumnya.
Quraisy menyiapkan 3,000 pasukan, 200 diantaranya pasukan berkuda yang amat kuat dan terkenal di bawah pimpinan Khalid bin Walid (semasa ini Khalid bin Walid belum lagi memeluk Islam). Sedangkan Rasulullah saat itu hanya mampu menghimpun 700 orang setelah 300 orang lainnya enggan menyertai peperangan ini oleh sebab hasutan Abdullah Ubay, tokoh munafikin Madinah.
Dengan nisbah tentera yang sangat tidak seimbang, Rasulullah menerapkan strategi menempatkan 50 pemanah di atas Bukit Rumat (atau Romah – bukit anak panah) di sebelah Uhud, untuk melindungi pasukan muslim yang bertahan di kaki dan lereng Uhud. Strategi ini terbukti menjadi apabila pasukan muslim mampu menguasai
Jabal Rumat
Ketika pasukan di bawah mengumpulkan barang-barang yang ditinggalkan musuh, pasukan pemanah tergoda untuk turun kecuali pimpinan pasukan Abdullah bin Jabir dan enam orang lainnya. Padahal sebelumnya Rasulullah telah berpesan apapun yang terjadi di bawah, menang ataupun kalah, pasukan pemanah dilarang turun.
Keadaan ini dilihat sebagai peluang oleh Khalid bin Walid yang segera membawa pasukannya berpatah kembali dan selanjutnya menguasai Bukit Rumat. Quraisy yang telah terdesak berbalik kembali dan melanjutkan perang setelah penguasaan kembali pasukan Khalid. Pasukan muslim sebaliknya diserang hebat.
70 sahabat terbunuh di peperangan ini, termasuk diantaranya adalah panglima perang Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi. Pahlawan terkenal dari Bani Hasyim itu gugur syahid dengan jantungnya dikeluarkan dan dimakan oleh Hindun, isteri Abu Sufyan, kerana membalas dendam atas kematian ayahnya di tangan Hamzah pada peperangan sebelumnya.
Pasukan muslim semakin tidak terkawal, bahkan pasukan pelindung Rasulullah juga terpisah-pisah. Oleh sebab itu sebilangan pasukan Quraisy mampu mendekati Rasulullah dan berkali-kali melukai tubuhnya. Bahkan Rasulullah sempat jatuh tersungkur sehingga musuh yakin Rasulullah telah gugur. Sebenarnya Rasulullah telah terjatuh ke dalam satu lubang (saya yakin itu bentuk bantuan yang diturunkan oleh Allah swt.)
70 syuhada yang gugur dimakamkan di kaki Jabal Uhud. Saidina Hamzah dimakamkan dalam satu liang dengan seorang lagi syahid yang juga sepupu Rasulullah, Abdullah bin Jahsy. Dikisahkan oleh sebab keadaan yang serba kekurangan ketika itu hingga tidak ada kain kafan yang mencukupi untuk membungkus seluruh tubuh Hamzah, bahagian kakinya hanya ditutupi dengan daun.
KENANGAN DAN PENGAJARAN
Pelajaran dari perang ini adalah walaupun pasukan muslim kelihatan hampir menang, akibat tidak patuh dengan arahan ketua perang iaitu Rasulullah sendiri pada masa itu, dan akibat mungkin tergoda dengan harta tinggalan perang, maka berakhir dengan kekalahan.
Untuk mengenang perjuangan berat itu, setiap tahun Rasulullah menziarahi makam para syuhada di Uhud. Hal serupa diikuti para khalifah selanjutnya. Bahkan pada suatu ketika Rasullullah pernah bersabda, “Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita (juga) mencintainya.” Rasulullah juga pernah menyebutkan Uhud adalah salah satu gunung yang ada di Syurga.
Bagi kita yang menziarahi Gunung Uhud adalah bertujuan mengambil teladan dan pengetahuan bahawa Allah sayangkan hamba-hambaNya dengan pelajaran yang dianugerahkanNya dalam perang Uhud. Menziarahinya kita akan mengambil hikmah tentang pahit getir perjuangan Rasulullah dan para sahabat mempertahankan Islam, mengambil hikmah dari cinta dan kesetiaan pada seorang yang telah terpilih; menjadi muslim yang taat.
Sebuah riwayat juga menceritakan Rasulullah pernah menaiki puncak Uhud bersama Abu Bakar As-Siddiq, Umar ibn Khathab dan Uthman bin Affan. Setelah baginda dan sahabat berada di puncak, mereka terasa Gunung Uhud bergetar.
Rasulullah menghentakkan kakinya dan bersabda, “Diamlah kamu Uhud. Di atasmu sekarang adalah Rasulullah dan orang yang selalu membenarkannya dan dua orang yang akan mati syahid.” Tak lama setelah itu Uhud berhenti bergetar. Demikianlah tanda kecintaan dan kegembiraan Uhud menyambut Rasulullah.
Yang dimaksud Rasulullah sebagai orang yang selalu membenarkannya adalah Saidina Abu Bakar yang diberi gelar “Al-Siddiq” kerana beliau selalu membenarkan semua tindakan dan kata-kata Rasulullah di saat orang-orang masih meragukannya (iaitu ketika Baginda berdakwah). Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Uthman di kemudian hari akhirnya memang wafat akibat dibunuh pengintip semasa menjadi khalifah.
Jemaah yang berziarah menadah tangan bersama-sama berdoa dengan pimpinan Al-Muttawwif Ustaz Anuar - doa untuk para syuhada' Uhud yang dijanjikan syurga - semoga pengakhiran mereka akan diikuti oleh kita sebaiknya. AL-FATIHAH...