June 01, 2009

Jabal Uhud Wa Asadullah Hamzah (Rodhiallahu Anhu)

Gunung Uhud dan Hamzah Singa Allah


“Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita (juga) mencintainya.” (Hadith riwayat Anas RA)



Jabal Uhud atau Gunung Uhud adalah salah satu lokasi yang cukup penting dalam sejarah Islam. Di gunung inilah pasukan muslim digempur habis-habisan oleh bala tentera kafir Quraisy pada 3 Hijriah. Menziarahinya kita akan mengambil hikmah tentang pahit getir perjuangan Rasulullah dan para sahabat mempertahankan Islam.



Jabal Uhud terletak tidak berapa jauh dari pusat Kota Madinah. Lokasinya berada sekitar enam kilometer arah utara Masjid Nabawi. Gunung tersebut bukan termasuk dalam rangkaian pegunungan yang berjajar dan sambung-menyambung mengelilingi Madinah. Uhud merupakan gunung yang terpisah. Perkataan “uhud” itu sendiri bermaksud “menyendiri”.



Meskipun menyendiri, Gunung Uhud tetap kelihatan dari jauh. Dari Masjid Nabawi, gunung yang membentang sepanjang 7 kilometer dengan puncak setinggi 1.050 meter itu seumpama raksasa yang sedang tidur.



Tapi jangan bayangkan gunung tersebut kelihatan hijau dan subur seperti gunung-gunung di tempat kita. Uhud tidak banyak bezanya dengan gunung-gunung lain di tanah Arab yang berbatu dan tandus. Dikatakan batu yang menjadi badan Uhud itu mengandungi granit, marmar merah dan batu-batu mulia. Oleh sebab itu jauh Gunung Uhud kelihatan kemerahan.



MAYAT YANG TIDAK REPUT




Kami menziarahi Makam Saidina Hamzah R.A yang syahid di situ bersama para syuhada' yang lain. Menurut Muttawif kami Ustaz Anuar, tempat ini pernah dilanda banjir besar sehinggakan tanah-tanah bukit terhakis dan terjerlus. Menurutnya banjir tersebut telah menyebabkan jasad para syuhada' kelihatan. Justeru proses mengebumikan semula dibuat dan diperintah oleh pihak kerajaan pada masa itu. Maklumat yang saya perolehi adalah banjir besar itu berlaku dalam tahun 46 Hijrah. Makam Saidina Hamzah dan Abdullah bin Jahsy tidak terkecuali terhakis sehingga jasad keduanya kelihatan di permukaan. Diceritakan, jasad kedua-duanya masih kelihatan tidak reput walaupun setelah 43 tahun dikuburkan.





Ketika proses pengebumian semula tersebut apabila tangan Saidina Hamzah yang menutupi luka di tubuhnya tergeser darah segarnya mengalir seperti jasad orang yang baru saja meninggal. Jasad kedua-dua tokoh syuhada' ini dimakamkan kembali tidak jauh dari makam 68 syuhada Uhud yang lain dan ditanda dengan batu hitam yang mengelilingi makam sebagaimana yang ada sekarang. Saya memperoleh maklumat bahawa pemindahan jasad-jasad ini dibuat oleh ulama'-ulama' yang ditugaskan oleh kerajaan tanah Arab ketika itu.




PERANG UHUD


Salah satu peristiwa yang boleh dipelajari adalah peperangan kedua antara kaum kafir Quraisy dengan para muslimin pada tanggal 15 Syawal 3 H. Peperangan ini sudah disiap sedia oleh kaum Quraisy di bawah pimpinan Abu Sufyan setelah kekalahan besar mereka di bukit Badar sebelumnya.



Quraisy menyiapkan 3,000 pasukan, 200 diantaranya pasukan berkuda yang amat kuat dan terkenal di bawah pimpinan Khalid bin Walid (semasa ini Khalid bin Walid belum lagi memeluk Islam). Sedangkan Rasulullah saat itu hanya mampu menghimpun 700 orang setelah 300 orang lainnya enggan menyertai peperangan ini oleh sebab hasutan Abdullah Ubay, tokoh munafikin Madinah.



Dengan nisbah tentera yang sangat tidak seimbang, Rasulullah menerapkan strategi menempatkan 50 pemanah di atas Bukit Rumat (atau Romah – bukit anak panah) di sebelah Uhud, untuk melindungi pasukan muslim yang bertahan di kaki dan lereng Uhud. Strategi ini terbukti menjadi apabila pasukan muslim mampu menguasai medan perang dan pasukan Quraisy terpaksa berundur meninggalkan semua bekalan perangnya.



Jabal Rumat


Ketika pasukan di bawah mengumpulkan barang-barang yang ditinggalkan musuh, pasukan pemanah tergoda untuk turun kecuali pimpinan pasukan Abdullah bin Jabir dan enam orang lainnya. Padahal sebelumnya Rasulullah telah berpesan apapun yang terjadi di bawah, menang ataupun kalah, pasukan pemanah dilarang turun.



Keadaan ini dilihat sebagai peluang oleh Khalid bin Walid yang segera membawa pasukannya berpatah kembali dan selanjutnya menguasai Bukit Rumat. Quraisy yang telah terdesak berbalik kembali dan melanjutkan perang setelah penguasaan kembali pasukan Khalid. Pasukan muslim sebaliknya diserang hebat.



70 sahabat terbunuh di peperangan ini, termasuk diantaranya adalah panglima perang Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi. Pahlawan terkenal dari Bani Hasyim itu gugur syahid dengan jantungnya dikeluarkan dan dimakan oleh Hindun, isteri Abu Sufyan, kerana membalas dendam atas kematian ayahnya di tangan Hamzah pada peperangan sebelumnya.



Pasukan muslim semakin tidak terkawal, bahkan pasukan pelindung Rasulullah juga terpisah-pisah. Oleh sebab itu sebilangan pasukan Quraisy mampu mendekati Rasulullah dan berkali-kali melukai tubuhnya. Bahkan Rasulullah sempat jatuh tersungkur sehingga musuh yakin Rasulullah telah gugur. Sebenarnya Rasulullah telah terjatuh ke dalam satu lubang (saya yakin itu bentuk bantuan yang diturunkan oleh Allah swt.)



Para sahabat menyaksikan dan menceritakan, belum pernah mereka menyaksikan Rasulullah SAW menangis teresak-esak di Uhud ketika melihat dan memeluk tubuh Saidina Hamzah. Saidina Hamzah semasa hidupnya digelar sebagai Asadullah (Singa Allah) dan seterusnya selepas wafat digelar “Sayyidusy Syuhada” (penghulu para syuhada).



70 syuhada yang gugur dimakamkan di kaki Jabal Uhud. Saidina Hamzah dimakamkan dalam satu liang dengan seorang lagi syahid yang juga sepupu Rasulullah, Abdullah bin Jahsy. Dikisahkan oleh sebab keadaan yang serba kekurangan ketika itu hingga tidak ada kain kafan yang mencukupi untuk membungkus seluruh tubuh Hamzah, bahagian kakinya hanya ditutupi dengan daun.



KENANGAN DAN PENGAJARAN


Pelajaran dari perang ini adalah walaupun pasukan muslim kelihatan hampir menang, akibat tidak patuh dengan arahan ketua perang iaitu Rasulullah sendiri pada masa itu, dan akibat mungkin tergoda dengan harta tinggalan perang, maka berakhir dengan kekalahan.



Untuk mengenang perjuangan berat itu, setiap tahun Rasulullah menziarahi makam para syuhada di Uhud. Hal serupa diikuti para khalifah selanjutnya. Bahkan pada suatu ketika Rasullullah pernah bersabda, “Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita (juga) mencintainya.” Rasulullah juga pernah menyebutkan Uhud adalah salah satu gunung yang ada di Syurga.



Bagi kita yang menziarahi Gunung Uhud adalah bertujuan mengambil teladan dan pengetahuan bahawa Allah sayangkan hamba-hambaNya dengan pelajaran yang dianugerahkanNya dalam perang Uhud. Menziarahinya kita akan mengambil hikmah tentang pahit getir perjuangan Rasulullah dan para sahabat mempertahankan Islam, mengambil hikmah dari cinta dan kesetiaan pada seorang yang telah terpilih; menjadi muslim yang taat.



Ada beberapa kisah lain yang berkaitan dengan Uhud. Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS pernah menaiki Gunung Uhud kerana ingin melihat tempat tinggal Nabi Allah yang terakhir. Tak lama setelah itu Nabi Harun AS jatuh sakit dan wafat di tempat itu. Selanjutnya dia dimakamkan di salah satu tebing Gunung Uhud yang sekarang dinamai Tebing Harun.



Sebuah riwayat juga menceritakan Rasulullah pernah menaiki puncak Uhud bersama Abu Bakar As-Siddiq, Umar ibn Khathab dan Uthman bin Affan. Setelah baginda dan sahabat berada di puncak, mereka terasa Gunung Uhud bergetar.



Rasulullah menghentakkan kakinya dan bersabda, “Diamlah kamu Uhud. Di atasmu sekarang adalah Rasulullah dan orang yang selalu membenarkannya dan dua orang yang akan mati syahid.” Tak lama setelah itu Uhud berhenti bergetar. Demikianlah tanda kecintaan dan kegembiraan Uhud menyambut Rasulullah.



Yang dimaksud Rasulullah sebagai orang yang selalu membenarkannya adalah Saidina Abu Bakar yang diberi gelar “Al-Siddiq” kerana beliau selalu membenarkan semua tindakan dan kata-kata Rasulullah di saat orang-orang masih meragukannya (iaitu ketika Baginda berdakwah). Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Uthman di kemudian hari akhirnya memang wafat akibat dibunuh pengintip semasa menjadi khalifah.


Jemaah yang berziarah menadah tangan bersama-sama berdoa dengan pimpinan Al-Muttawwif Ustaz Anuar - doa untuk para syuhada' Uhud yang dijanjikan syurga - semoga pengakhiran mereka akan diikuti oleh kita sebaiknya. AL-FATIHAH...



No comments:

Post a Comment