December 16, 2009

Sayyidina

Maka ramailah yg bertanya..... "sayyidina" atau "saidina" dalam solawat, lanjutan dari posting sebelum ini.  Untuk meredakan bagi yang tidak puas hati, posting itu tidak secara terang menempelak sesiapa, tidak pula menuduh siapa yang menambah kalimah tersebut maka sesat.          Menurut penulisan Ust. Zaharuddin Abd. Rahman, secara dasarnya tiada terdapat dalil yang jelas tentang tambahan "sayidina" di dalam selawat.  

Jika diteliti hadis yang menyebut tentang bacaan ini di dalam riwayat Al-Bukhari (Fath al-Bari, Syarah Sahih al-Bukhari, no.831), Muslim (Sahih Muslim (dengan Syarah al-Nawawi, no.895,900,902,906, 4/336) dan Abu Daud (Sunan Abu Daud, no.968-981 ms 122-123) sememangnya tidak terdapat kalimah "sayidina Muhammad" dan "sayidina Ibrahim".

Justeru, majoriti para ulama tidak menggalakkan ia ditambah dalam tasyahud.  Sebahagian ulama' mazhab Syafi'i menyatakan bahawa penambahan "sayidina" adalah lebih elok dibuat atas dasar adab dengan Nabi s.a.w. dan menolak satu hadis larangan Nabi yang dikatakan daif (Syarh al-Ghazi ms 66).  

Selain ulama Syafi'i, terdapat juga ulama mazhab Hanafi yang berpendapat demikian.  Walau bagaimanapun, mazhab Hanafi secara umumnya tidak bersetuju penambahan "sayidina" ini.

Mazhab Maliki dan Hanbali secara sepakat tidak bersetuju dengan penambahan ini (Ashal al-Madarik, 1/210; Al-Mughni, 1/543 oleh Ibn Qudamah).

Ustaz Zaharuddin membuat kesimpulan dengan bersetuju terhadap apa yang disimpulkan oleh Prof.Dr. kamil Musa (Ahkam al-Ibadat, ms.160) bahawa sesungguhnya ikhtilaf dalam bab ini hanyalah dalam menentukan yang manakah yang lebih afdal, dan menurut semua hujah mereka, tiada sebarang masalah besar jika menambah, cumanya berpegang teguh dengan nas adalah lebih baik. 

Juga harus kembali kepada pemahaman bahawa isu bid'ah bukan dirujuk pada amalan muamalat harian seperti pemakaian dan hasil kemajuan sains (contohnya pandu kereta, tengok tv, pakai kot dll.) tetapi merujuk pada ibadat khusus yang mana telah diajar oleh Nabi s.a.w.  Saya berpendapat ibadat-ibadat khusus yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w semestinya ada nas hadis sahih yang menerangkannya.  Sehinggakan ada yang menyalah-anggap jika demikian tindakan mengagungkan raja saudi adalah lebih bid'ah, masakan mengagungkan Nabi s.a.w tidak boleh pula ?  Kembali pada kefahaman asas iaitu bid'ah merujuk pada apa jua tambahan tindakan dan sebutan dalam "ibadat khusus"....  



Wallahu A'lam

1 comment: