70,000 Memasuki Syurga Tanpa Azab
Daripada Ibnu Abbas daripada Nabi baginda bersabda yang bermaksud; "Ditunjukkan kepadaku umat-umat, aku lihat seorang Nabi bersama dengannya sekumpulan pengikut, terdapat seorang Nabi bersama-samanya seorang lelaki dan 2 orang lelaki. Seorang Nabi tiada seorangpun pengikut. Tiba-tiba diperlihatkan kepadaku sekumpulan manusia yang ramai, aku menyangka mereka adalah ummatku, lalu dikatakan kepadaku; "Ini adalah Musa dan kaumnya". Aku lihat pula sekumpulan manusia yang ramai, lalu dikatakan kepadaku ini adalah umatmu dan bersama-sama mereka itu 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab dan azab. Kemudian Nabi bangun dan memasuki rumahnya. Maka manusia (para sahabat) mula bercakap tentang mereka (yang 70,000 itu). Sebahagian mereka berkata; "Boleh jadi mereka adalah yang menjadi sahabat Nabi". Yang lain pula berkata; "Mungkin mereka adalah yang dilahirkan dalam islam tanpa menyukutukan Allah dengan sesuatu". Pelbagailah sangkaan yang sebutkan. Lalu Rasullullah keluar menemui mereka dan mengkhabarkan: "Mereka adalah yang tidak meminta ruqyah (jampi), tidak menggunakan kai, tidak melakukan tathoyyur dan kepada tuhan mereka bertawakkal. Lalu bangunlah Ukasyah bin Mihson dan berkata; "Doakanlah agar Allah menjadikan aku salah seorang daripada mereka". Lalu Nabi bersabda; "Kamu adalah dikalangan mereka". Kemudian bangun pula lelaki lain lalu berkata: "Doakanlah semoga Allah menjadikan aku salah seorang daripada mereka". Nabi bersabda; "Sesungguhnya Ukasyah telah mendahului kamu". Hadis riwayat Bukhari & Muslim.
Hadis ini menceritakan kepada kita tentang 70,000 umat islam yang memasuki syurga tanpa hisab dan tanpa azab. Nabi juga menyebutkan sifat-sifat itu @ syarat untuk menjadi salah seorang daripada 70,000 umat yang dimasukkan syurga tanpa hisab dan tanpa azab ini adalah;
1) Tidak meminta supaya dijampi kerana kuatnya pergantungan kepada Allah. Ini tidaklah bermaksud mereka tidak boleh menjampi diri mereka sendiri dan tidak pula bermakna bahawa meminta supaya orang menjampi dengan jampi-jampi syarak adalah haram. Bahkan ianya bermaksud bahawa kekuatan pergantungan kepada Allah menyebabkan mereka tidak meminta pertolongan daripada orang lain untuk dijampi disebabkan sakit yang menimpa mereka.
2) Tidak menggunakan kai @ meminta supaya diubat dengan cara kai (besi panas yang diletakkan kepada anggota yang sakit). Menggunakan jampi dan kai ini dalam perubatan hukumnya adalah harus tetapi meninggalkannya adalah afdhal dan lebih sempurna dalam mencapai maksud tauhid.
3) Tidak melakukan tathoyyur. Iaitu tidak tasyaum (tidak bersangka buruk dengan cara menerbangkan burung seperti dilakukan oleh arab jahiliyyah, ataupun ramalan-ramalan berkait dengan bulan dan hari-hari tertentu serta perkara lainnya).
4) Bertawakkal kepada Allah semata-mata dalam semua perkara yang mendatangkan manfaat ataupun menangkis sebarang kemudharatan.
Hadis Ibnu Abbas ini merupakan kegembiraan kepada umat Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Melalui penelitian kepada hadis ini dan hadis-hadis berkaitan yang lainnya maka kita dapat melihat 2 sudut khabar gembira kepada umat wasotiyyah ini.
Khabar gembira pertama;
Dalam hadis yang lain daripada Abu Umamah Nabi memberitakan khabar gembira lain yang maksudnya: " Dan tuhanku telah menjanjikan kepadaku bahawa akan dimasukkan ke dalam syurga dikalangan umatku 70,000 orang tanpa hisab dan tanpa azab, bersama setiap 1000 orang terdapat 70,000 orang yang lain dan tiga hathayat"- hadis riwayat Tirmizi & Ibnu Majah. Imam Tirmizi berkata; "Hadis ini adalah Hasan lagi Gharib.
Jika dikira jumlah mereka berdasarkan hadis Abu Umamah riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah, maka kita akan dapati keseluruhan jumlah umat Muhammad yang memasuki syurganya tanpa hisab dan azab ialah 4.970,000 orang. Empat juta Sembilan ratus tujuh puluh ribu orang. Tetapi berapa banyak pula hashayat tuhan? Allahu a'lam.
Khabar gembira yang kedua;
Bilangan penduduk syurga dikalangan umat Muhammad ini adalah 2/3 daripada keseluruhan penduduk syurga. Umat Muhammad yang akan memasuki syurga Allah lebih ramai jumlahnya daripada keseluruhan umat-umat terdahulu. Nabi telah mengkhabarkan berita ini pada suatu hari; "Adakah kamu semua redho menjadi 1/4 penduduk ahli syurga? Kami katakana: "Ya". Adakah kamu semua redho menjadi 1/3 penduduk ahli syurga? Kami katakana; "Ya". Adakah kamu semua redho menjadi 1/2 penduduk syurga? Kami katakan ; "Ya". Nabi bersabda; "Demi yang diri Muhammad ditanganNYA sesungguhnya aku berharap supaya kamu semua menjadi 1/2 penduduk ahli syurga yang demikian kerana syurga itu tidak dimasuki kecuali oleh jiwa yang muslim, dan tidaklah kamu berbanding ahli syirik kecuali seperti rambut putih yang berada disatu kulit yang gelap atau rambut hitam yang berada dalam kulit yang putih. Riwayat Bukhari 6047. Dalam hadis lain Nabi menyebutkan bahawa penduduk syurga berada dalam 120 saf, 80 saf daripadanya adalah dikalangan umat ini dan 40 saf lagi daripada umat-umat yang lain. Riwayat Tiirmizi 3469 beliau menyatakan bahawa hadis ini adaalah hadis Hasan.
Apakah hukum jampi (Ruqyah)?
Hukum asal bagi perubatan melalui jampi (ruqya syarak) adalah harus dengan syarat ianya dilakukan dengan cara-cara yang harus seperti yang diajarkan oleh Nabi dan hadis-hadis baginda. Mereka yang mengamalkan menjampi diri sendiri dan menjampi orang lain masih tidak terkeluar daripada syarat untuk menjadi 70,000 umat Nabi yang masuk syurga tanpa hisab. Ini kerana Nabi juga pernah dijampi oleh Jibril Alaihissalam apabila terkena sihir seorang yahudi. Tetapi harus diketahui bahawa ianya bukanlah dengan permintaan Nabi kepada jibril agar dijampi. Oleh itu, kaedahnya ialah, sebolehnya diri sendiri tidak meminta agar dijampi walaupun hukumnya harus, tetapi jika terdapat teman-teman soleh yang mahu menjampi kita dengan inisiatif mereka sendiri apabila melihat kita sakit maka itu tidak mengapa.
Syeikh Al-Allamah Mufti Abdul Aziz bin Bazz ketika ditanya tentang 70,000 orang ini berkata; "Mereka adalah yang berjihad dengan diri kerana Allah, istiqamah dalam agamanya, sentiasa melaksanakan tuntutan fardhu dan meninggalkan larangan dan berlumba-lumba dalam kebaikan. Di antara sifat mereka ialah, tidak meminta supaya dijampi dan tidak menggunakan kai, ini tidak bermakna ianya haram. Tidak mengapa meminta dijampikan dan supaya digunakan kai ketikamana keperluan yang mendesak kearah menggunakan dua perkara itu. Akan tetapi, antara sifat-sifat mereka ialah meninggalkan perkara itu (meminta supaya dijampikan @ digunakan Kai) dan berpada dengan cara-cara yang lain. Tidak meminta supaya orang lain menjampikan dirinya akan tetapi jika keperluannya terlalu mendesak tidak mengapa,dan ianya tidak mengeluarkan dia daripada 70,000 orang tersebut. Kerana ini Nabi memerintahkan Aisyah supaya meminta orang lain menjampikannya ketika Aisyah sakit. Dan memerintahkan Ummu Aitam Ja'far bin Abi Tolib (Asma' Bte Khumais) meminta jampi buat anak-anak mereka seperti datang dalam hadis yang soheh[1].
Hukum Kai;
Hukum kai adalah sama seperti ruqyah. Kita sebolehnya tidak meminta supaya digunakan perubatan kai ketika sakit. Adapun jika Dr menggunakannya kepada kita tanpa permintaan kita @pun keadaan memaksa menggunakan perubatan cara ini maka ianya tidak menafikan syarat untuk menjadi salah seorang daripada 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab dan azab.
وقال عليه الصلاة والسلام: ((الشفاء في ثلاث، كية نار، أو شرطة محجم أو شربة عسل، وما أحب أن أكتوي، وقال: وأنا أنهى أمتي عن الكي))[2].
Dalam hadis Nabi menyebutkan : "Perubatan itu pada tiga perkara, kai dengan api, atau berbekam, atau meminum madu, dan aku tidak suka menggunakan kai, kemudian Nabi berkata; "Dan aku larang umatku daripada kai".-soheh bukhari.
"Larangan ini adalah berbentuk karahah tanzih bukan tahrim seperti disebutkan oleh ramai ulama. Ini kerana telah datang keharusannya dalam hadis riwayat Tirmizi bahwa Nabi menggunakan kai kepada As'ad bin Zurarah bagi mengubati duri yang mengenainya. Ini menunjukkan keharusannya dan telah datang wajah Jama' (himpunkan antara hadis-hadis tersebut) seperti dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar. Imam Syaukani berkata dalam al-Nail; "Telah datang larangan berkaitan dengan kai, dan telah datang juga keharusannya dan keharusan penggunaannya oleh As'ad bagi menjelaskan hukum keharusannya, sekira-kira tidak mampu seseorang itu mengubati penyakitnya dengan cara yang lain. Hanyasanya datang larangan penggunaan kai jika mampu mengubatinya dengan cara perubatan yang lain, ini kerana kai mengandungi azab yang menggunakan api dan tidak boleh mengazab dengan api kecuali tuhan api (Allah). Dan kerana kai juga mendatangkan kesan yang berkekalan kepada kulitnya". Lihat "Tuhfatul Ahwazi Syarah Sunan Tirmizi" 6/172.
Melalui hadis-hadis yang lepas, pujian baginda kepada mereka yang meninggalkan 3 perkara tersebut, demikian ketidaksukaan Nabi menggunakan kai seperti dalam hadis soheh Bukhari membuktikan bahawa meninggalkan penggunaan kai dalam perubatan adalah lebih utama dan afdhal sekalipun Nabi melakukannya kepada Sa'ad bin Muaz seperti dalam riwayat Imam Muslim dan Ibnu Majah. Larangan menggunakan kai dan ruqyah adalah berbentuk makruh dalam keadaan yang tertentu seperti yang dapat difahami melalui hadis & penjelasan ulama.
Hukum Tathoyyur;
Dalam hadis riwayat Bukhari & Muslim daripada Anas bin Malik, Nabi bersabda yang bermaksud; "Tiada Adwa, tiada juga Thiyarah dan menakjubkan aku al-Fa'lu, kata-kata yang baik dan kalimah yang baik".
Tathoyyur termasuk dalam jenis; Tasyaum (sangkaan yang buruk) samada pada hari-hari tertentu, pada individu tertentu @ pada kejadian tertentu. Diantara bentuk-bentuk tasyaum seperti sangkaan yang tidak baik pada menyebut kalimah mati, takut dan sangka buruk terhadap warna hitam, tafsiran buruk apabila mendengar suara burung hantu, gagak, kedutan pada mata, kaki terasa kebas mencucuk dalam tempoh tertentu dan lain-lain lagi kepercayaan dan sangkaan buruk yang boleh mencalarkan tawakkal kepada Allah. Tathoyyur dilarang oleh Nabi kerana ianya menghilangkan kesempurnaan tauhid yang sewajibnya. Ini kerana syaitan membisikkan dan menakutkan manusia dengan cara hati mereka bergantung dengan ketakutan. Ia juga kerana tathoyyur adalah termasuk dalam perbuatan jahiliyyah. Perbincangan ini akan saya jelaskan pada masa yang lain dengan lebih detail insyallah. Semoga Allah menjadikan kita dikalangan 70,000 mereka yang memasuki syurganya tanpa hisab & azab. Sesungguhnya Allah maha berkuasa keatas setiap sesuatu. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga baginda & seluruh para sahabat. Wallahu a'lam.
[2] Dikeluarkan oleh ibnu majah dalam kitab al-Tibb bab al-kai no 3491.
Ustaz Zaharuddin dalam hal kepercayaan karut :-
No comments:
Post a Comment