April 07, 2010

Khutbah JAIS : Mistik & Tahyul

 Ya benar syaitan dan jin boleh menyerupai wajah rupa bentuk yang "menakutkan" jika diizinkankan Allah (perkara yang Allah tidak redha), ia juga boleh mempengaruhi hati manusia dan mengacau ganggu ketenteraman jiwa.  Namun kita tidak harus fokus dalam hal sebegini melampau-lampau sehingga membawa terciptanya amalan khusus seperti mantera-mantera dan jampi serapah yang tidak ada usul atau saranan dari Nabi s.a.w.  Jiwa kita masih lagi tidak kuat sehingga perasaan yang terlalu takut menguasai diri.  Pameran hantu dan filem atau drama hantu tempatan yang ada bukannya boleh mengikis kepercayaan sebegini bahkan pula menambahkan lagi walaupun pada asalnya sekadar hiburan.

http://www.freewebs.com/maidencrewz/HantUitm.jpg

Berikut adalah intipati kandungan khutbah Jumaat yang diambil dari laman JAIS , berkenaan kepercayaan mistik, hantu-hantu dan ketahyulan yang masih membelenggu dalam benak Melayu Islam.   

“KEPERCAYAAN MISTIK DAN TAHYUL DALAM MASYARAKAT ISLAM”

“KEPERCAYAAN MISTIK DAN TAHYUL DALAM MASYARAKAT ISLAM”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita tanamkan dalam diri kita perasaan takut dan gerun kepada Allah subhaanahu wataala. takut dengan maksud yakin dan percaya bahawa tiada makhluk lain yang mampu menandingi kekuasaannya dan hanya Allah sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan mengenai “Kepercayaan Mistik dan Tahyul Dalam Masyarakat Islam”. Mistik menurut kamus dewan ialah keadaan ghaib yang tidak dapat diselami oleh pemikiran manusia yang mengandungi keanehan dan keajaiban. Manakala tahyul pula ialah kepercayaan yang karut dan bersifat khayalan. Cerita dan minat terhadap kisah tahyul dan mistik bukan merupakan isu baru dalam masyarakat Islam di Malaysia, sebaliknya telah berakar umbi sejak zaman nenek moyang lagi. Kisah mistik dan tahyul sentiasa menarik minat masyarakat Islam sehinggakan pameran jin dan alam misteri yang pernah dianjurkan suatu masa dahulu mendapat sambutan yang luar biasa. Begitu juga dokumentari dan juga filem mengenai mistik dan tahyul yang ditayangkan hampir dalam setiap saluran television mencatat bilangan penonton yang tinggi.

Umum mengetahui pelesit, langsuir, pontianak, pocong, toyol dan hantu raya, merupakan nama-nama hantu yang sebati dalam minda orang ,melayu. Begitu juga istilah-istilah seperti saka, susuk, santau, pelaris , puja, seru, badi mayat, orang bunian, penunggu dan mambang yang mempunyai hubungan yang erat dengan jin dan syaitan.

Mempercayai kewujudan jin merupakan salah satu aspek kepercayaan kepada alam ghaib yang wajib diimani. Al-Quran turut merakam sejarah perhubungan manusia dengan jin semenjak dari penciptaan Adam a.s, perdebatan Nabi Musa dengan ahli sihir firaun, Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis malah Nabi Muhammad sallAllahu „alayhi wasallam juga turut berdakwah kepada kaum jin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Liputan meluas terhadap cerita mistik dan tahyul ini telah mengakibatkan sindrom takut dikalangan masyarakat terutama kanak-kanak. Takut mereka kapada apa yang dinamakan hantu dan makhluk halus mengatasi takut mereka kepada Allah subhaanahu wataala. Mereka sering didedahkan dengan gambaran hantu-hantu di tanah perkuburan, hantu-hantu yang gemar mencekik mangsa dan menghisap darah, hantu-hantu yang memegang kepalanya sendiri yang telah tercabut, keranda terbang, tongkat berdiri sendiri dan seumpamanya. Ketakutan ini terbawa-bawa di dalam tidur mereka sehingga melemahkan semangat, tubuh badan seterusnya minda mereka.

Bukan itu sahaja, bomoh dan dukun palsu yang tidak mengikut cara dan kaedah Islam pula turut menjadi tumpuan segelintir masyarakat Islam untuk merawat segala penyakit sama ada penyakit zahir ataupun misteri. Anggapan sesetengah orang, rawatan dengan azimat dan tangkal dan seumpamanya lebih berkesan dan cepat sembuh berbanding rawatan secara Islam. Kadang kala bomoh dan dukun palsu ini mengeliruka masyarakat dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran disamping ramuan jampi dan serapah mereka.

Segelintir masyarakat menganggap bomoh mampu mengetahui alam ghaib dam meramalkan sesuatu perkara. Justeru tidak hairanlah bomoh dan dukun menjadi tempat tumpuan dan rujukan utama segelintir masyarakat Islam dalam menyelesaikan masalah jenayah seperti kecurian, penculikan , pembunuhan dan sebagainya. Bukan itu sahaja bomoh juga dijemput dalam majlis-majlis perkahwinan dan kenduri kendara sebagai benteng pertahanan daripada hasad dengki manusia melalui perantaraan jin dan syaitan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejarah anutan masyarakat melayu sebelum kedatangan Islam seperti kepercayaan Animisma. Hindu ataupun Budha turut mempengaruhi kepercayaan masyarakat Islam berhubung perkara mistik. Pegangan agama yang dihayati oleh orang melayu tidak berupaya menyingkirkan sebahagian amalan karut dan bertentangan dengan hukum Islam. Pengetahuan yang kurang mengenai Islam khususnya maklumat berkaitan jin dan syaitan menjadikan segelintir masyarakat Islam terjebak ke dalam lembah kesyirikan tanpa disedari. Begitu juga aqidah umat Islam yang nipis dan longgar menjerumuskan mereka ke dalam lembah kesesatan. Percayalah bahawa kepercayaan kepada kuasa lain selain Allah yang boleh menyembuh dan merawat penyakit akan merosakkan aqidah seseorang Islam. Kepercayaan bahawa seseorang itu mampu mengetahui perkara ghaib juga merupakan kepercayaan yang sesat, berdosa dan bertentangan dengan aqidah Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita seharusnya meletakkan kedudukan kita sebagai khalifah di muka bumi lebih mulia daripada jin dan syaitan. Ketakutan kita kepada makhluk jin, syaitan dan pergantungan kita kepada mereka sebenarnya merendahkan martabat kita di sisi Allah subhaanahu wataala.

Sebagai orang Islam kita juga harus menyedari bahawa perkara-perkara mistik dan tahyul yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini adalah mainan syaitan dan sihir yang di ajar oleh syatan kepada manusia. Ingatlah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 102:
“Dan mereka mengikuti ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan nabi Sulaman,padahal nabi Sulaiman tidaklah kafir(tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekafiran itu),akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir(dengan amalan sihir itu);dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat kerana merekalah yang mengajarkan manusia amalan sihir”

Sebagai orang islam kita juga hendaklah mempercayai bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui alam ghaib. Kepercayaan bahawa bomoh atau orang-orang tertentu boleh mengetahui alam ghaib dan mengetahui perkara yang akan dating merupakan perkara yang sesat dan harus dijauhi. Ingatlah sabda Rasullulah sallallahu „alayhi wasallam yang terdapat dalam sahih muslim.

“Sesiapa yang mendatangi tukang tilik kemudian bertanyakan kepadanya sesuatu tidak akan diterima solatnya selama 40 malam”

Rasullulah sallallahu „alayhi wasallam pernah ditanya oleh sahabatnya mengenai perkhabaran yang disampaikan oleh bomoh yang ada kalanya benar. Hadis daripada Aishah R.A yang diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim yang bermaksud: Aishah berkata: “Sahabat bertanya kepada Rasulullah mengenai Al-Kuhhan. Rasulullah sallallahu „alayhi wasallam menjawab: “Mereka tidak bernilai di sisiku.” Sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, mereka mengkhabarkan perkara yang kadangkala benar.” Rasulullah sallallahu „alayhi wasallam menjawab: “Berita yang benar tersebut dicuri oleh jin lalu menyembunyikannya di telinga tuannya seperti bunyi ayam dan menyampuradukkan dengan lebih dari seratus penipuan.”


Sidang jumaat yang dirahmati Allah,


Pihak-pihak penerbit dan penyiaran yang terlibat dalam media massa, hendaklah memikirkan kemaslahatan umat dan tidak terlalu memikirkan keuntungan semata-mata. Niat yang baik tetapi natijahnya melahirkan masyarakat yang penakut juga merupakan amalan yang merugikan dan sia-sia. Walaupun filem-filem yang ditayangkan mengandungi pengajaran dan tauladan, namun jika kesan buruk lebih banyak daripada kebaikan, maka itu wajib dihentikan. Masyarakat kita tidak sewajarnya dilekakan dengan isu hantu dan jin sehingga terlupa isu yang lebih besar membabitkan agama, bangsa dan Negara.

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia meminta perlindungan daripada beberapa lelaki daripada kalangan jin, kerana jin-jin ini menambahkan mereka dosa dan kesalahan.”
(Surah Jin:6)

 - Bacaan 09 Okt.2009

=====================================
Gelap = hantuuu
Bunyi pelik / tak tahu bunyi apa = hantuuuu
Bayang-bayang / bayangan = hantuuuuu
Accident / jatuh = sebab hantuuuu
Rasa sejuk seram = hantuuu ada mariiii
Ayah pin = hantuuuu jugaaaa

No comments:

Post a Comment