April 15, 2010

Zam-Zam Menurut Doktor Haji

''Tak makan ubat pun takpa, Air Zamzam kan ada" jawab seorang jemaah semsa mendapat rawatan di klinik Maktab.
"Pak Cik dah seminggu tak makan ubat!'' Ujar seorang lagi jemaah.
''Nak test...Ustaz kata Air Zamzam tu ubat segala ubat'' Tambahnya lagi dengan penuh yakin.
“Tapi..saya periksa tekanan darah Pak Cik dan paras gula ni tinggi sangat.” Aku mula sangsi dengan jemaah yang berkata demikian.
Apa bentuk nasihat yang patut aku berikan kepada jemaah haji sebegini. Mengiyakan pegangan mereka seolah-olah membiarkan mereka ingkar dari memakan ubat Kencing Manis atau Darah Tinggi. Menidakkan fahaman yang mereka pegang, seolah-olah menolak sabdaan Nabi mengenai khasiat Air Zam-zam! Malah ada diantara mereka yang meninggalkan terus dari memakan ubat penyakit kronik yang mereka alami sepanjang hidup mereka. Kefahaman yang mereka perolehi ini menyulitkan pihak perubatan untuk member nasihat dan memberi hujah yang kukuh. Mengakibatkan penyakit yang mereka alami sebelum ini menyerang kembali dan akhirnya mengganggu ibadah haji dan umrah yang mereka tunaikan. Air Zamzam ada disegenap tempat di Tanah Suci. Memperolehinya begitu senang sekali samada di hotel tempat menginap mahupun di dalam Masjidil Haram. Pendek kata jika ubat kencing manis yang sepatutnya dimakan tiga kali sehari boleh ditukar begitu sahaja dengan Air Zamzam bergelas-gelas, lebih dari tiga.

Keyakinan Air Zamzam Sebagai Ubat.

Tidak dinafikan bahawa Air Zamzam mempunyai keistimewaan yang tersendiri, sehingga Nabi pernah menyebut akan keistimewaan ini.
ماءزمزم لماشرب له
Ertinya: Air Zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki." (Diriwayatkan dari Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)
Kelebihan ini tidak akan diperolehi pada air lain diatas dunia ini. Seorang pengkaji bernama Tariq Husin pernah mengkaji kelebihan air zam zamzam ini. beliau menyatakan bahawa air Zamzam ini mengandungi garam mineral seperti kalsium dan Magnesium yang tinggi. Sesuai untuk jemaah haji mengerjakan kerja-kerja haji dan Umrah. Amat menakjubkan juga Air Zamzam mengandungi florida dan klorin yang paling sesuai untuk semua makhluk . Sedangkan air Zamzam ini adalah air yang asli, tidak pernah dirawat atau diproses oleh teknologi terkini.
Ahli-ahli ilmu telah meluaskan huraian mereka mengenai dengan hadis di atas. Al-Munawa Rahimahullah Ta'ala telah berkata:
"Air Zam zam ialah penghulu segala air, paling mulia, paling berharga dan paling disukai. Allah Ta'ala telah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim Alaihissalam dengan air Zamzam. Maka begitulah pertolongan yang seperti itu juga boleh diperolehi oleh orang-orang yang selepas baginda, iaitu bagi sesiapa sahaja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk juga kita. Ramai para ulama telah meminumnya kerana sesuatu hajat, dan mereka itu berhasil memperolehinya."
Berkata al-lmam an-Nawawi Rahimahullah sebagai mengulas hadis di atas:
"Maknanya, barangsiapa yang minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperolehi hajatnya itu, Hal ini, telah dicuba oleh para ulama dan orang-orang saleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun hajat dunia, dan Alhamdulillah, semuanya telah memperolehinya." (Lihat Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139).
Al- 'Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah Rahimahullah pula berkata:
"Saya dan juga orang-orang lain sudahpun mencuba berubat dengan air Zamzam. Saya telah berubat dengannya dalam banyak penyakit, dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya sudah menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air Zamzam hampir setengah bulan atau lebih , tetapi tidak merasa lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa."
Menambah lagi al-'Allamah: "Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali, kemudian saya minum, lalu saya mendapati kesembuhan yang sempurna. Semenjak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat." (Lihat Zadul Ma'ad 4/718)

Air Zamzam tiada keistimewaan jika tidak berusaha

Meminum air zamzam untuk mendapatkan manafaat dunia atau akhirat tidak akan berhasil jika tidak kena cara dan tidak mematuhi konsep memohon sesuatu permintaan. Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Begitu juga dengan berubat, ia tidak akan berhasil tanpa melakukan usaha lain. Kalau betul kita merasakan cukup dengan air zamzam sahaja boleh menyembuhkan penyakit, Kerajaan Arab Saudi sepatutnya mengharamkan hospital dan farmasi. Malah Kacip Fatimah dan Minyak Dhab tidak perlu dijual di Bukit Uhud. Air zamzam boleh menyembuhkan penyakit dengan izin Allah. Jika Allah tidak izinkan penyakit kita sembuh minum selori air zamzam pun penyakit kita takkan sembuh. Begitu juga dengan ubat-ubatan, tidak akan sembuh melainkan dengan izin Allah Taala. Jangan kita jatuh syirik dengan mengatakan dengan makan ubat-ubatan atau minum air zamzam boleh menyembuhkan penyakit.
Konsep sebenar yang perlu ada bagi seorang muslim adalah air zamzam itu adalah salah satu ikhtiar dalam berubat. Cuba perhatikan betul-betul tulisan Ibnul Qayyim
...Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali......
Maksudnya beliau telah berusaha mencari ubat dan doktor serta sudah tiada ikhtiar lain dalam menyembuhkan penyakit yang dialami. Air Zamzam menjadi alat untuk berubat pada saat itu. Ianya juga perlu di sertai dengan niat dan keyakinan yang tinggi akan janji Rasulullah tersebut.
Konsep ini sama juga dengan permohonan-permohonan lain semasa meminum air zam-zam. Cuba lihat apa yang dinukilkan oleh Imam Al-Jalal Assayuti;
"Dengan memuji Allah Ta'ala, saya sudah musafir ke negeri-negeri Syam, Hijaz, Yaman, India dan Maghribi. Apabila saya menunaikan haji, saya telah minum air Zamzam bagi beberapa perkara yang berikut, antaranya: Agar saya sampai (mahir) dalam ilmu fiqeh sehingga mencapai mertabat Asy-Syeikh Sirajuddin al-Bulqini. Dalam ilmu hadis sehingga saya mencapai mertabat al-Hafiz lbnu Hajar." (Lihat Husnul Muhadharah 1/215 dan 2/296).
Imam As Sayuti tidak menjadi ulamak besar semata-mata dengan meminum air zamzam, tetapi perlulah disusuli dengan mengadap guru, menelaah kitab dan mengikuti perbincangan ilmiah. Ilmu tidak datang bergolek tanpa usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal. Air Zamzamlah sebagai pemacu kepada usaha dan ikhtiar itu.



Inilah ulasan saya ketika bersemuka dengan jemaah haji yang mmeberikan alasan meminum Air Zamzam menggantikan ubat biasanya. 

April 14, 2010

Sharing Muzir - "Al-Rahiq Al-Makhtuum"


Dalam entry terdahulu (Disember 09) saya ada menganjurkan bacaan sirah Nabi berdasarkan kitab Al-Rahiq Al-Makhtum.  Buku ini memberi gambaran dan susunan yang lebih tepat tentang kisah hidup Nabi Muhammad s.a.w. dan menangkis sesetengah pernyataan dan maklumat yang tidak bersumberkan hadis atau bertentangan dengannya.  Versi bahasa Inggeris diberi nama "The Sealed Nectar" (boleh download di sini).

Kali ini penekanan terhadap rujukan kepada buku ini kembali dianjurkan dan berikut adalah post dari satu blog yang saya lawat.  :-


Buku Sirah Rasulullah saw: Ar-Rahiq al-Makthum


Pagi tadi saya menerima SMS dari seseorang yang bertanyakan tentang buku sirah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang bagus untuk dibaca.  Saya rasa elok juga saya catitkan di sini beberapa catitan berkenaan sebuah buku sirah yang telah mendapat banyak recommendation dari golongan cerdik pandai agama.
Nama buku:  Ar-Rahiq al-Makhtum – Sirah Nabawiyyah saw
Pengarang:  Shaikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri
Penterjemah:  Muhammad Ramzi Omar
Penerbit:  Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Ketebalan:  733 muka surat
Harga:  RM60 (terpapar di kulit belakang buku).  Tuan/puan mungkin boleh membelinya dengan harga yang lebih murah di kedai buku.

Kulit depan Ar-Rahiq al-Makhtum terbitan YADIM


2 tahun lepas saya telah membeli buku dengan tajuk yang sama, tetapi terbitan syarikat lain.  Disebabkan oleh tidak dapat menangkap banyak maksud kerana dipersembahkan dalam bahasa Indonesia, maka saya terpaksa mencari terbitan YADIM, kerana bahasanya bahasa Melayu yang mudah dibaca rakyat Malaysia.

Kenapa buku ini mendapat rekomendasi yang luas dari orang ramai?

 

Saya mengenali buku ini hasil membaca satu perbincangan forum di Al-Ahkam.net.  Di sana telah disenaraikan beberapa buku yang wajar dibaca oleh sekalian muslim.  Dan dalam bab sirah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, disarankan buku ini:  Ar-Rahiq al-Makhtum.

Buku bertajuk Ar-Rahiq al-Makhtum tulisan Shaikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri ini sebenarnya telah terhasil dari pertandingan yang dianjurkan oleh Rabithah Al-Alam Al-Islami pada 1396H di Pakistan.  Syarat yang ketat dalam menghasilkan karya berkualiti tentang sirah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah disenaraikan.  Antara syarat-syarat yang dikenakan bagi pertandingan tersebut ialah:


  1. Kajian mesti perspektif, berdasarkan urutan kejadian.


  2. Mesti bagus kualitinya dan belum pernah diterbitkan.


  3. Penulis mesti menyebut manuskrip dan sumber ilmiah yang menjadi landasan tulisan tersebut.


  4. Penulis mesti menyebut biografi lengkap tentang diri penulis dan melampirkan karya-karya ilmiah yang pernah ditulis.


  5. Kajian mesti ditulis dengan tulisan tangan yang rapi atau ditaip.


  6. Tulisan bebas dalam bahasa apa pun.


  7. Hasil tulisan akan diteliti oleh panel khusus yang terdiri dari para ulama yang pakar.

Sebanyak 171 kajian telah dihantar dari seluruh dunia.  84 darinya dalam bahasa Arab, 64 dalam bahasa Urdu, 22 dalam bahasa Inggeris dan 1 dalam bahasa Perancis.  Pemenang bagi pertandingan tersebut adalah seperti berikut:


  1. Tempat Pertama:  Shaikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri dari Al-Jami’ah As-Salafiyah di India.


  2. Tempat Kedua:  Dr Majid Ali Khan dari Al-Jami’ah Al-Mahalliyah Al-Islamiyyah di India.


  3. Tempat Ketiga:  Dr Nushair Ahmad Nashir, Rektor Al-Jami’ah Al-Islamiyyah Pakistan.


  4. Tempat Keempat:  Al-Ustadz Hamid Mahmud Muhammad Manshur Laimud dari Mesir.


  5. Tempat Kelima:  Al-Ustadz Abdussalam Hasyim Hafizh dari Madiah Al-Munawwarah, Arab Saudi.

Pengumuman pemenang telah diumumkan di Karachi, Pakistan pada 1398H dan telah mendapat liputan akhbar secara besar-besaran.  Untuk penyerahan hadiah, satu acara khas yang penuh meriah telah diadakan pada 1399H di Makkah dengan dihadiri oleh ramai tokoh-tokoh.

Tersebarnya buku Ar-Rahiq Al-Makhtum adalah hasil usaha dari Rabithah Al-Alam Al-Islami yang telah menyebarkan kajian yang menjadi juara dalam pertandingan tersebut dalam bentuk buku, dan diterbitkan dalam banyak bahasa.  Menurut kata-kata Shaikh Muhammad bin Ali Al-Harakan yang merupakan ahli Rabithah Al-Alam Al-Islami yang saya petik dari buku terbitan Pustaka Al-Kautsar, insyaALLAH kajian-kajian yang turut menang dalam pertandingan tersebut akan menyusul disebarkan.

Semoga kita sama-sama dapat mengulangkaji dan mengenali sirah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, dan semakin subur rasa cinta dan rindu untuk bertemu dengannya pada hari akhirat nanti…


April 07, 2010

Khutbah JAIS : Mistik & Tahyul

 Ya benar syaitan dan jin boleh menyerupai wajah rupa bentuk yang "menakutkan" jika diizinkankan Allah (perkara yang Allah tidak redha), ia juga boleh mempengaruhi hati manusia dan mengacau ganggu ketenteraman jiwa.  Namun kita tidak harus fokus dalam hal sebegini melampau-lampau sehingga membawa terciptanya amalan khusus seperti mantera-mantera dan jampi serapah yang tidak ada usul atau saranan dari Nabi s.a.w.  Jiwa kita masih lagi tidak kuat sehingga perasaan yang terlalu takut menguasai diri.  Pameran hantu dan filem atau drama hantu tempatan yang ada bukannya boleh mengikis kepercayaan sebegini bahkan pula menambahkan lagi walaupun pada asalnya sekadar hiburan.

http://www.freewebs.com/maidencrewz/HantUitm.jpg

Berikut adalah intipati kandungan khutbah Jumaat yang diambil dari laman JAIS , berkenaan kepercayaan mistik, hantu-hantu dan ketahyulan yang masih membelenggu dalam benak Melayu Islam.   

“KEPERCAYAAN MISTIK DAN TAHYUL DALAM MASYARAKAT ISLAM”

“KEPERCAYAAN MISTIK DAN TAHYUL DALAM MASYARAKAT ISLAM”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita tanamkan dalam diri kita perasaan takut dan gerun kepada Allah subhaanahu wataala. takut dengan maksud yakin dan percaya bahawa tiada makhluk lain yang mampu menandingi kekuasaannya dan hanya Allah sahajalah tempat berserah dan memohon pertolongan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan mengenai “Kepercayaan Mistik dan Tahyul Dalam Masyarakat Islam”. Mistik menurut kamus dewan ialah keadaan ghaib yang tidak dapat diselami oleh pemikiran manusia yang mengandungi keanehan dan keajaiban. Manakala tahyul pula ialah kepercayaan yang karut dan bersifat khayalan. Cerita dan minat terhadap kisah tahyul dan mistik bukan merupakan isu baru dalam masyarakat Islam di Malaysia, sebaliknya telah berakar umbi sejak zaman nenek moyang lagi. Kisah mistik dan tahyul sentiasa menarik minat masyarakat Islam sehinggakan pameran jin dan alam misteri yang pernah dianjurkan suatu masa dahulu mendapat sambutan yang luar biasa. Begitu juga dokumentari dan juga filem mengenai mistik dan tahyul yang ditayangkan hampir dalam setiap saluran television mencatat bilangan penonton yang tinggi.

Umum mengetahui pelesit, langsuir, pontianak, pocong, toyol dan hantu raya, merupakan nama-nama hantu yang sebati dalam minda orang ,melayu. Begitu juga istilah-istilah seperti saka, susuk, santau, pelaris , puja, seru, badi mayat, orang bunian, penunggu dan mambang yang mempunyai hubungan yang erat dengan jin dan syaitan.

Mempercayai kewujudan jin merupakan salah satu aspek kepercayaan kepada alam ghaib yang wajib diimani. Al-Quran turut merakam sejarah perhubungan manusia dengan jin semenjak dari penciptaan Adam a.s, perdebatan Nabi Musa dengan ahli sihir firaun, Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis malah Nabi Muhammad sallAllahu „alayhi wasallam juga turut berdakwah kepada kaum jin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Liputan meluas terhadap cerita mistik dan tahyul ini telah mengakibatkan sindrom takut dikalangan masyarakat terutama kanak-kanak. Takut mereka kapada apa yang dinamakan hantu dan makhluk halus mengatasi takut mereka kepada Allah subhaanahu wataala. Mereka sering didedahkan dengan gambaran hantu-hantu di tanah perkuburan, hantu-hantu yang gemar mencekik mangsa dan menghisap darah, hantu-hantu yang memegang kepalanya sendiri yang telah tercabut, keranda terbang, tongkat berdiri sendiri dan seumpamanya. Ketakutan ini terbawa-bawa di dalam tidur mereka sehingga melemahkan semangat, tubuh badan seterusnya minda mereka.

Bukan itu sahaja, bomoh dan dukun palsu yang tidak mengikut cara dan kaedah Islam pula turut menjadi tumpuan segelintir masyarakat Islam untuk merawat segala penyakit sama ada penyakit zahir ataupun misteri. Anggapan sesetengah orang, rawatan dengan azimat dan tangkal dan seumpamanya lebih berkesan dan cepat sembuh berbanding rawatan secara Islam. Kadang kala bomoh dan dukun palsu ini mengeliruka masyarakat dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran disamping ramuan jampi dan serapah mereka.

Segelintir masyarakat menganggap bomoh mampu mengetahui alam ghaib dam meramalkan sesuatu perkara. Justeru tidak hairanlah bomoh dan dukun menjadi tempat tumpuan dan rujukan utama segelintir masyarakat Islam dalam menyelesaikan masalah jenayah seperti kecurian, penculikan , pembunuhan dan sebagainya. Bukan itu sahaja bomoh juga dijemput dalam majlis-majlis perkahwinan dan kenduri kendara sebagai benteng pertahanan daripada hasad dengki manusia melalui perantaraan jin dan syaitan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejarah anutan masyarakat melayu sebelum kedatangan Islam seperti kepercayaan Animisma. Hindu ataupun Budha turut mempengaruhi kepercayaan masyarakat Islam berhubung perkara mistik. Pegangan agama yang dihayati oleh orang melayu tidak berupaya menyingkirkan sebahagian amalan karut dan bertentangan dengan hukum Islam. Pengetahuan yang kurang mengenai Islam khususnya maklumat berkaitan jin dan syaitan menjadikan segelintir masyarakat Islam terjebak ke dalam lembah kesyirikan tanpa disedari. Begitu juga aqidah umat Islam yang nipis dan longgar menjerumuskan mereka ke dalam lembah kesesatan. Percayalah bahawa kepercayaan kepada kuasa lain selain Allah yang boleh menyembuh dan merawat penyakit akan merosakkan aqidah seseorang Islam. Kepercayaan bahawa seseorang itu mampu mengetahui perkara ghaib juga merupakan kepercayaan yang sesat, berdosa dan bertentangan dengan aqidah Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita seharusnya meletakkan kedudukan kita sebagai khalifah di muka bumi lebih mulia daripada jin dan syaitan. Ketakutan kita kepada makhluk jin, syaitan dan pergantungan kita kepada mereka sebenarnya merendahkan martabat kita di sisi Allah subhaanahu wataala.

Sebagai orang Islam kita juga harus menyedari bahawa perkara-perkara mistik dan tahyul yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini adalah mainan syaitan dan sihir yang di ajar oleh syatan kepada manusia. Ingatlah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 102:
“Dan mereka mengikuti ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan nabi Sulaman,padahal nabi Sulaiman tidaklah kafir(tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekafiran itu),akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir(dengan amalan sihir itu);dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat kerana merekalah yang mengajarkan manusia amalan sihir”

Sebagai orang islam kita juga hendaklah mempercayai bahawa hanya Allah sahaja yang mengetahui alam ghaib. Kepercayaan bahawa bomoh atau orang-orang tertentu boleh mengetahui alam ghaib dan mengetahui perkara yang akan dating merupakan perkara yang sesat dan harus dijauhi. Ingatlah sabda Rasullulah sallallahu „alayhi wasallam yang terdapat dalam sahih muslim.

“Sesiapa yang mendatangi tukang tilik kemudian bertanyakan kepadanya sesuatu tidak akan diterima solatnya selama 40 malam”

Rasullulah sallallahu „alayhi wasallam pernah ditanya oleh sahabatnya mengenai perkhabaran yang disampaikan oleh bomoh yang ada kalanya benar. Hadis daripada Aishah R.A yang diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim yang bermaksud: Aishah berkata: “Sahabat bertanya kepada Rasulullah mengenai Al-Kuhhan. Rasulullah sallallahu „alayhi wasallam menjawab: “Mereka tidak bernilai di sisiku.” Sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, mereka mengkhabarkan perkara yang kadangkala benar.” Rasulullah sallallahu „alayhi wasallam menjawab: “Berita yang benar tersebut dicuri oleh jin lalu menyembunyikannya di telinga tuannya seperti bunyi ayam dan menyampuradukkan dengan lebih dari seratus penipuan.”


Sidang jumaat yang dirahmati Allah,


Pihak-pihak penerbit dan penyiaran yang terlibat dalam media massa, hendaklah memikirkan kemaslahatan umat dan tidak terlalu memikirkan keuntungan semata-mata. Niat yang baik tetapi natijahnya melahirkan masyarakat yang penakut juga merupakan amalan yang merugikan dan sia-sia. Walaupun filem-filem yang ditayangkan mengandungi pengajaran dan tauladan, namun jika kesan buruk lebih banyak daripada kebaikan, maka itu wajib dihentikan. Masyarakat kita tidak sewajarnya dilekakan dengan isu hantu dan jin sehingga terlupa isu yang lebih besar membabitkan agama, bangsa dan Negara.

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia meminta perlindungan daripada beberapa lelaki daripada kalangan jin, kerana jin-jin ini menambahkan mereka dosa dan kesalahan.”
(Surah Jin:6)

 - Bacaan 09 Okt.2009

=====================================
Gelap = hantuuu
Bunyi pelik / tak tahu bunyi apa = hantuuuu
Bayang-bayang / bayangan = hantuuuuu
Accident / jatuh = sebab hantuuuu
Rasa sejuk seram = hantuuu ada mariiii
Ayah pin = hantuuuu jugaaaa