Sharing Al-Sakandary : DIET RASULULLAH ?

September 11, 2012

Bertebaran maklumat berkenaan Diet Nabi di Facebook membuat kita terasa ingin beramal dengannya, lebih-lebih lagi zaman sekarang Diet merupakan satu perkara teramat penting dalam rutin harian dan dalam penjagaan kesihatan, demi umur panjang, kekuatan atau lain-lain sebab.  

Tidak dapat dinafikan Islam memang cakna dalam pengambilan makanan Halal dan cakna dalam kesihatan tubuh badan.  Bagaimanapun adakah kita cakna tentang sumber asal perihal Diet Nabi ini, adakah ianya mempunyai usul yang benar dari hadith atau sunnah yang sahih? Atau ianya hanya rekaan manusia yang inginkan orang ramai mengamalkan tabiat yang baik lalu menyandarkan sesuatu pernyataan kepada Rasulullah s.a.w..  

Sahabat saya di Iskandariah, Mesir (pelajar perubatan) adalah salah seorang yang giat mengikuti pengajian hadith dan bertalaqqi dengan ulama di sana menulis :-




Jawapan: 

Bismillah, Alhamdulillah..wa ba'd. 

# Penjelasan status hadith diet Nabi SAW: 

1- Hadith yang dinyatakan dalam poster itu adalah Palsu, kesemuanya adalah Batil, Tiada Asalnya. Kesemuanya tiada dalam al-Qur'an dan tiada juga dalam hadith, baik hadith Sahih, Dha'if ataupun Palsu.

2- Menisbahkan diet sebegini kepada Baginda SAW adalah merupakan satu pendustaan kepada Baginda, celakalah fulan yang mencipta hadith ini dan telah tetap neraka bagi mereka yang menyebarkan poster ini kecuali bagi mereka yang bertaubat. Nabi SAW bersabda dalam hadith yang Sahih: "مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ - Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka" [HR al-Bukhari dan Muslim] 

# Disiplin penting dalam menyebarkan hadith Nabi

3- Ramai manusia suka menyebarkan hadith-hadith Nabi SAW dalam internet terutamanya Facebook. Mereka berniat baik atas alasan sabda Nabi SAW: "بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً  - sampaikan dariku walau satu ayat". 

4- Tetapi mereka lupa lafaz penuh hadith berkenaan berbunyi:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، وَلاَ حَرَجَ ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ 

"sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari kisah-kisah Bani Isra'il dan itu tidak mengapa (iaitu tidak berdosa walaupun ia tidak sahih dengan syarat memberitahu ia kisah Bani Israil dan bukan hadith). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". 

5- Jangan baca hadith sekerat saja, tetapi bacalah keseluruhannya. Ketahuilah bahawa hadith yang sama ini padanya galakan dan ancaman, bahagian pertama hadith berbunyi "بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً - sampaikan dariku walau satu ayat" adalah galakan manakala ia diringi dengan ancaman pada bahagian akhir hadith berbunyi: "وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ - dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". 

6- Oleh itu sebelum anda ingin beramal dengan galakan menyebarkan hadith Nabi SAW itu, jangan lupa ancamannya, tanya dulu diri anda sekurang-kurangnya 3 perkara: 1 - benarkah ia hadith?, 2 - riwayat siapa? , 3- sahihkah ia?. Apabila telah terjawab kesemua 3 soalan asas ini, maka silakanlah menyebarkan hadith itu, jika tidak maka usahlah sebarkan walaupun ayatnya nampak baik dan mampu memberi suntikan jiwa. Kerana tiada lagi yang baik apabila anda telah berdusta kepada Baginda Nabi SAW. 


# Asal usul diet ini

7- Diet ini tiada dalam al-Qur'an atau mana-mana hadith, sebaliknya ia terdapat dalam kitab Taurat dan Talmud kaum Yahudi kini. Amalan diet ini sebenarnya adalah peraturan diet agama Yahudi yang dikenali sebagai "Kosher" (Hebrew = כשר ) atau "Kashrut" (Hebrew = כַּשְׁרוּת). 

8- Kosher/Kashrut adalah set peraturan makanan dalam agama Yahudi sebagaimana yang dijelaskan dalam Torah (Taurat) dan tafsir/syarah bagi Torah iaitu Oral Torah (Talmud). Misalnya larangan memakan daging berserta susu terdapat dalam Exodus 23:19; Exodus. 34:26; serta Deutronomy 14:21 (rujuk disini: http://www.mechon-mamre.org/e/et/et02.htm).

Oral Torah (Talmud) ketika mensyarahkan ayat-ayat ini menyatakan bahawa ia bermaksud daging tidak boleh dimakan beserta susu. Kemudian para Rabbai Yahudi memperluas larangan ini mencakupi ayam, iaitu ayam juga dilarang makan bersama susu. Tidak cukup dengan itu kitab Talmud juga melarang mencampurkan daging dan ikan dalam satu pinggan untuk dimakan bersama. (rujuk: http://www.jewfaq.org/kashrut.htm , http://www.jewfaq.org/kashrut.htm#Rules , http://www.jewfaq.org/kashrut.htm#Separation). 

9- Bagi Yahudi yang beriman dengan Torah dan Talmud, mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan makanan ini, kerana ia adalah arahan Tuhan bagi mereka sebagaimana yang dikhabarkan dalam kitab "suci" mereka. Para saintis Yahudi menjelaskan bahawa tanggapan sesetengah pihak bahawa peraturan-peraturan ini mempunyai hikmah agar lebih menyihatkan badan tiada buktinya dari segi sains,

Maka para Rabbai Yahudi menyimpulkan "kita mengikut peraturan ini semata-mata kerana ia arahan Tuhan" atau Islam menyebutnya "ta'abbudi". Para Yahudi mematuhi peraturan makanan ini sebagaimana para Muslimin mematuhi peraturan makanan yang disyariatkan dalam al-Qur'an dan Hadith tanpa soal iaitu dengan semata ta'abbudi. (rujuk: http://www.jewfaq.org/kashrut.htm#Why)

# Melayu ini Islam atau Yahudi?

10- Persoalannya, kenapakah kaum melayu yang "dinobatkan secara percuma" oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai beragama Islam secara tiba-tiba mengekori syariat Yahudi pula??

11- Adakah kamu lupa hadith yang berbunyi "َمَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ - Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka" [Hadith Mauquf Sahih sebagai kata-kata Huzaifah dengan hukum Marfu' , rujuk penjelasan terperinci statusnya disini: http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/11/penjelasan-status-hadith-barangsiapa.html]. 

12- Atau adakah kamu sudah menyerah kalah kepada Yahudi hingga mahu mengikut jejak langkah mereka, lupakah kamu akan firman Allah SWT: "وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡ‌ۗ - Orang-orang Yahudi dan Nasrani sama sekali tidak akan senang kepada kamu hinggalah kamu mengikuti agama mereka" [al-Baqarah: 120]. Dimanakah wala' dan bara' kamu? kepada Allah dan Rasul atau kepada Yahud? 

13- Tidak cukup dengan itu, kenapa perlu berdusta pula kepada Baginda Nabi SAW, mengaitkan sesuatu perkara yang tidak pernah Baginda SAW sebut atau lakukannya, lupakah kamu akan sabda Nabi:  "مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ - Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka" [HR al-Bukhari dan Muslim]? Adakah Syurga itu terlalu nyaman bagi kamu hingga kamu mahukan panas Neraka? 

# Apakah diet Nabi yang Sahih? 

14- Diet Nabi SAW yang Sahih ialah beliau memakan makanan yang halal dengan jumlah yang tidak banyak, itu sahaja. Thabit dalam hadith Nabi SAW bersabda:  " الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ - seorang mu'min itu makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut" [HR al-Bukhari, no. 5392]. 

15- Adapun hadith dengan lafaz "نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع - kami adalah suatu kaum, yang tidak akan makan hingga merasa lapar, jika kami makan maka tidak sampai kenyang" , hadith ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadith Ahlussunnah, baik kutub hadith yang masyhur atau tidak masyhur.

Sebaliknya ia hanya dijumpai dalam kitab syi'ah!! iaitu kitab hadith syi'ah karya al-Sayyid al-Thabathabaie (laknatullah) bernama Sunan al-Nabi (bab makanan dan minuman, halaman 266). Tidak syak lagi bahawa hadith ini adalah hadith palsu, pendustaan kepada Nabi SAW dan berkemungkinan besar ia adalah ciptaan syi'ah (moga Allah melaknat mereka).

Kata-kata ini bukan saja dusta kepada Baginda Nabi SAW, bahkan ia bercanggah dengan sebuah hadith sahih yang menceritakan bahawa Abu Hurairah pernah disuruh Baginda Nabi SAW minum susu hingga perutnya penuh kenyang. Iaitu hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Jami'nya al-Sahih (no. 6452). 

Hadith Abu Hirairah tersebut memberi faedah bahawa bolehnya makan minum hingga perut kenyang, namun kenyang itu bukanlah hingga boleh memudharatkan diri, hingga kenyang masih mahu tetap makan dan makan dengan banyak. [Lanjut rujuk Siri Q&A no. 8 yang lalu disini: https://www.facebook.com/note.php?note_id=186438404777695 ] 


Sekian, Allahua'lam

Muhammad Fathi bin Ali
Ma'had `Aaliy Li Quran wa `Ulimihi - al-Azhar al-Syarif
Iskandariah, Mesir

Read more...

Blog Hijacked

August 07, 2012

Secara random blog kita mungkin akan dihack oleh genius IT yang tak berakhlak.  Dulu pernah website www.taekwondo-terengganu.com (sekarang sudah tukar www.tkd-trg.com) dihack oleh hacker yang bersifat islam ekstrimis (khawarij) kononnya ajak berjihad tapi tak kena cara masuk laman orang buat sampah.  Pernah juga hacker Indon masuk kacau dan kutuk Malaysia...biasa la tu.....  Blog (blogspot) juga tak terkecuali.  Kalau blog anda tak dapat masuk dengan tiba-tibanya ia redirect ke web lain contoh Kunoichi.info .... sila ambil langkah berikut :-

Masuk "Dashboard" (akaun anda di www.blogger.com) - pahtu "Layout" (atau "Page Elements")....pahtu cari sutir-sutir biasanya dekat HTML Code atau widget third party...jumpa je yang ada link web contohnya http : // kunoichi . info / blogger _ buster / tu  (ni taip link ni pun jauh-jauh kut dia generate otomatik) .... Delete atau remove je HTML .  Sebaiknya Clear Cache browser dan restart.... Pinggggggg...molek slalu....

"Grrrrrrrrrr"



Read more...

Warisan Dosa

March 02, 2012

“DALAM ajaran Kristian terdapat dosa Nabi Adam dan Hawa yang ditanggung juga oleh manusia, bagaimana pandangan anda sebagai muslim?”  Saya yakin kebanyakan muslim dengan yakin akan memberi jawaban bahawa semua manusia tidak menanggung dosa dua insan yang awal itu.

Semasa saya kecil dan sehingga remaja, beberapa kali mendengar orang agama mengajarkan bahawa jika seorang kanak-kanak melakukan kebaikan maka pahalanya diberikan kepada ayah dan ibunya.  Begitu pula jika kanak-kanak melakukan kesalahan, maka dosanya ditanggung oleh kedua-dua orang tuanya. Begitulah dahulu pegangan agama saya mengenai dosa dan pahala kanak-kanak.

Kini anak perempuan saya memberitahu bahawa dia diajarkan mengenai dosa dan pahala kanak-kanak sebagaimana saya menerima ajaran itu dahulu.  Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan dalam kalangan muslim kuat berpegang fahaman bahawa sebarang perbuatan baik dan buruk kanak-kanak semuanya ditanggung pula oleh kedua-dua ibu bapanya.  Benarkah wahyu Allah mengatakan begitu?

Dalam facebook meriah pula dengan satu tag mengatakan lelaki yang menikahi seorang perempuan bermakna mesti bersedia menanggung dosa-dosa si isteri kelak!  Begitu banyak yang membuat ‘share’ dalam akaun facebooknya menandakan mereka sangat mempercayai perkara itu sebagai ajaran agama Islam!

Semua yang begitu kuat percaya bahawa dosa dan pahala kanak-kanak serta isteri menjadi tanggungan orang lain, ironisnya percaya pula wahyu Allah yang menerangkan Nabi Nuh tidak terkesan dengan dosa kufur anak lelakinya.  Begitu juga mereka setia percaya bahawa nabi Lut tidak menanggung dosa kufur isterinya di negeri Sodom.  Mereka percaya Allah tidak mengurangkan pun darjat kedua-dua nabi itu atas kekufuran anggota keluarganya.

Begitu banyak ayat al-Quran yang sangat jelas mengenai seseorang manusia tidak dipertanggungjawabkan atas kebaikan dan kesalahan orang lain.  Ayat-ayat itu menjadi hujah terhadap kaum kafir di Makkah dan Madinah, dan menjadi penjelas antara ajaran Islam yang benar dan ajaran nenek moyang yang direka-reka.  Anehnya kita…., al-Quran di hadapan dan dibaca hari-hari tetapi masih berfahaman seperti kaum dahulu.

Berikut maksud beberapa ayat al-Quran yang menjadi hujah jelasnya setiap insan hanya menanggung kesan perbuatan baik dan buruknya sendiri.  Semua ini ayat yang maksudnya jelas, yang tidak perlu takwilan pelbagai maksud lain.

Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.  Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”

Maksud surah al-Isra:15 “Barang siapa berbuat sesuai dengan petunjuk (Allah), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri, dan barang siapa tersesat maka sesungguhnya (kerugian) itu bagi dirinya sendiri.  Dan seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, tetapi Kami tidak akan menyiksa (seseorang/kaum) sebelum Kami mengutus seorang rasul.”

Maksud surah Fatir:18 “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.  Dan jika seseorang yang dibebani berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul bebannya itu, tidak akan dipikulkan sedikit pun meski (yang dipanggilnya) kaum kerabatnya.”

- Kredit kpd Ustaz Nurul Mubin Siraj : "Himbauan Desa"

Read more...

Muharam & Bubur Asyura

December 06, 2011



Ifthar 10 Muharram, Masjidil Haram 1433


KENANGAN NAJIHAH & TOKKI KUCAR BUBUR SURA
 

Asal Usul Bubur Asyura.
Catatan Abu Umair. http://abuumair1.wordpress.com/2009/12/26/asal-usul-bubur-asyura/#comment-1260
[Dengar juga Kisah Yg ada kaitan Dgn Hari Asyura: http://www.mediafire.com/?73m03nfcyj9w77x ]


10 Muharram adalah Hari Asyura. Antara tradisi orang Melayu turun temurun apabila tiba tarikh ini  ialah membuat bubur Asyura. Bubur Asyura ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharram. Ada yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurang dan jangan dilebih. Jika tidak, ia tidak dinamakan bubur Asyura.

Entah dari mana sumbernya saya tidak tahu. Yang pasti, sudah 10 tahun saya tidak merasai keenakan makan bubur Asyura di kampung.

Mengimbau zaman kanak-kanak di hari Asyura, masih teringat apabila bubur Asyura hampir masak, saya bersama adik-adik dan rakan-rakan, masing-masing dengan memegang tempurung kelapa menyerbu kawah yang berisi bubur yang masih panas. Satu nostalgia yang tidak dilupakan, makan bubur Asyura berpiringkan tempurung dan bersudukan daun kelapa.
Waktu itu, tidak pernah terlintas di fikiran saya sempena apakah dibuat jamuan bubur Asyura. Adakah ia satu amalan keagamaan atau sekadar adat bangsa? Sehingga apabila masuk ke sekolah menengah dan mendapati jamuan bubur Asyura dijadikan upacara tahunan yang dianjurkan oleh pihak Sekolah.

Dengan sedikit kajian ringkas tentang asal-usul bubur Asyura dalam masyarakat Melayu, mungkin boleh dikatakan kewujudan jamuan bubur Asyura dalam masyarakat Melayu bertitik tolak dari dua sandaran.
Pertama: Cerita Bahtera Nabi Nuh a.s.

Banyak laman web menyebut tentang kisah ini. Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura’, maka berkatalah ia pada umatnya :
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.

Penilaian:

- Cerita seperti ini perlu kepada kajian. Dari manakah sumbernya dan apakah taraf kedudukan kisah ini. Setakat ini saya tidak menemui sebarang petunjuk tentang kisah ini dalam sumber hadis dan atsar. Sesiapa yang menjumpainya, diharap dapat membantu.

- Jika kisah ini sahih sekalipun, dan kita menerima kaedah ‘Syarak sebelum kita adalah syarak kita juga’, persoalannya adakah makanan yang dibuat oleh Nabi Nuh a.s. adalah satu bentuk jamuan sempena 10 Muharram, atau ia adalah makanan biasa yang berkebetulan pada tarikh 10 Muharram?

- Jika benar kisah ini, dan betul istinbat orang Melayu bahawa disunatkan membuat bubur berdasarkan cerita ini, mengapa tidak ada anjuran daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam atau amalan para sahabat tentang perkara ini?

Kedua: Hadis Galakan Memberi Keluasan Kepada Keluarga
Mungkin sandaran lain bagi jamuan bubur Asyura ialah hadis-hadis tentang memberi galakan supaya pada hari Asyura hendaklah menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum keluarga.

Hadis yang dimaksudkan ialah:
“Sesiapa memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu”.
Mungkin kerana mempercayai kelebihan dalam hadis ini, sesetengah orang Islam mahu memberi keluasan kepada kaum keluarga pada hari 10 Muharram, dengan harapan Tuhan akan mempermudahkan rezekinya sepanjang tahun tersebut. Antara bentuk memberi keluasan ialah mengadakan jamuan makanan.

Cuma kedudukan hadis ini di sisi ulama hadis adalah palsu atau dhaif. Rujuk: Al-Maudhu’aat oleh Ibn Jauzi 2/572, Al-Manar al-Munif oleh Ibn Qayyim 1/111, Al-Fawaid al-Majmu’ah oleh Syaukani 1/98.

Sekali lagi kita terpaksa terima bahawa jika sandaran mengadakan jamuan bubur Asyura ialah hadis ini, sebenarnya ia adalah hadis yang tidak sahih. Jangan terlalu mengharap kepada fadhilat yang belum pasti kesahihannya.

Cuma, membuat bubur Asyura itu kalau setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Asyura, buatlah bubur Asyura. Tetapi elakkan  kepercayaan yang kurang sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.

Wallahu A’lam.

Madinah Munawwarah,
9 Muharram 1431H
26 Disember 2009M

.....

"Yang afdhalnya kalu larat kita poser... Kalu dokrok doksoh kucar bubur, suh org dok poser kucar..." 


قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ فَرَأَى الْيَهُوْدَ تَصُوْمُ يَوْمَ عَاشُوْرَاءَ ، فَقَالَ : مَا هَذَا؟ قَالُوْا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحُ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللهُ بَنِيْ إِسْرِائِيْلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَ مُوْسَى ، قَالَ : فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوْسَى مِنْكُمْ ، فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

“Ketika Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam datang ke Madinah, maka baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa di hari Asyura, lalu baginda bertanya: hari apakah ini? Mereka menjawab: Ini adalah hari yang baik, hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu. Baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap puasa Musa dari kamu sekalian. Maka baginda berpuasa dan memerintahkan berpuasa”. (Hadis Riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130))

Read more...

Berbuka Dengan Sahih

August 01, 2011



Berbuka Puasalah dengan Doa-doa Berikut Ini

Do’a pertama:
Terdapat sebuah hadits shahih tentang doa berbuka puasa, yang diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam,

ذَهَبَ الظَّمَأُ، وابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَاللهُ
“Dzahabazh zhoma’u wabtallatil ‘uruqu wa tsabatal ajru insya Allah-ed.”
[Telah hilanglah dahaga, telah basahlah kerongkongan, semoga ada pahala yang ditetapkan, jika Allah menghendaki](Hadits shahih, Riwayat Abu Daud [2/306, no. 2357] dan selainnya; lihat Shahih al-Jami’: 4/209, no. 4678

Periwayat hadits adalah Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma. Pada awal hadits terdapat redaksi, “Abdullah bin Umar berkata, ‘Jika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berbuka puasa, beliau mengucapkan ….‘”

Yang dimaksud dengan إذا أفطر adalah setelah makan atau minum yang menandakan bahwa orang yang berpuasa tersebut telah “membatalkan” puasanya (berbuka puasa, pen) pada waktunya (waktu berbuka, pen). Oleh karena itu doa ini tidak dibaca sebelum makan atau minum saat berbuka. Sebelum makan tetap membaca basmalah, ucapan “bismillah” sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فَإِنْ نَسِىَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِى أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

“Apabila salah seorang di antara kalian makan, maka hendaknya ia menyebut nama Allah Ta’ala. Jika ia lupa untuk menyebut nama Allah Ta’ala di awal, hendaklah ia mengucapkan: “Bismillaahi awwalahu wa aakhirohu (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya)”. (HR. Abu Daud no. 3767 dan At Tirmidzi no. 1858. At Tirmidzi mengatakan hadits tersebut hasan shahih. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits tersebut shahih)

Adapun ucapan وثبت الأجر maksudnya “telah hilanglah kelelahan dan telah diperolehlah pahala”, ini merupakan bentuk motivasi untuk beribadah. Maka, kelelahan menjadi hilang dan pergi, dan pahala berjumlah banyak telah ditetapkan bagi orang yang telah berpuasa tersebut.


Do’a kedua:
Adapun doa yang lain yang merupakan atsar dari perkataan Abdullah bin ‘Amr bin al-’Ash radhiyallahu ‘anhuma adalah,

اَللَّهُمَّ إنِّي أَسْألُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ، أنْ تَغْفِرَ لِيْ
“Allahumma inni as-aluka bi rohmatikal latii wasi’at kulla syain an taghfirolii-ed”
[Ya Allah, aku memohon rahmatmu yang meliputi segala sesuatu, yang dengannya engkau mengampuni aku](HR. Ibnu Majah: 1/557, no. 1753; dinilai hasan oleh al-Hafizh dalam takhrij beliau untuk kitab al-Adzkar; lihat Syarah al-Adzkar: 4/342)


Kredit:
1) http://muslimah.or.id/ramadhan/doa-berbuka-puasa-yang-shahih.html
2) Kitab Hisnul Muslim (Perisai Muslim) oleh Dr.Sa'id bin 'Ali Wahf Al-Qahthani - diterjemah oleh Dr. Abd.Basit Abd. Rahman, Musrif Pondok Sg.Durian

Read more...

Hantu "W"

July 19, 2011

Kisah semasa di KUSZA dulu, masa duk asrama Blok Abu Bakar...

Suatu pagi aku balik ke asrama dari rumah aku dengan menggohek motor bruce lee ku yg bijok, sampai kat bilik, jiran aku tegur:-

Jiran : "Mu dok dengo citer ke? Roommate mu kena 'ngosek'" 

Aku: "Dok pon, dia gi mana doh?"

Jiran:"Ada tu dlm bilik si "A".

Aku gi la cari dia, nok tahu citer, masuk bilik A :-

Aku:"Weh W, guaner mung aku dengo mu kena ngosek?"

W: "Biasa la, x dok mende pon."

W mcm xmboh citer panjang, muka buat selamber mcm macho.

W: "Dok la, aku semalam aku masuk bilik mung, aku letih ngak aku tetido atas katil mung, pahtu pagi tadi nok bangun dokleh, aku rasa doh ni kena tindih ah ni"

Aku: "Doh mung wat ganer?"

W:" Aku rilek jer, aku teringat ah ayah aku pernah org panggil mintak tolong sbb ada student kena histeria, ayoh aku selamber je cakap kat jin tu 'baik mu tubik, kalu dok aku bahang mu'...molek2 ada budok tu baik selalu...."

Aku: "Doh mung bahang ah hatu hok tindih mung? Biser ngak mung..."

W: "Hah, dok dang bahang dia lari dulu...Dia gini, kalu mu takut ke hantu, koho dia kaca mung...Aku geram ngak aku sound ah 'Mari ah nok gocoh!'..."

Mmmmm gitu weh...molek gok petua tu, tadok terlibat bacaan pelik2..satu motivasi yg berguna.... W pun napok cool je, aku tabik ah dia.

Aku pun gi kat bilik Jiran aku, citer pasal W kena tindih ni.... Selama aku tido situ tadok pulok mende2 hok ngaca aku.... Kebetulan dalam bilik Jiran aku tu ada kawan2 lain mari lepak.... Semua ketawa besor bila dengar aku olah balik citer W tadi... Aku heran, aku tanya bakpe pulok???"

Geng 1: "Weh, dia citer gitu ke mung? Aku rasa macam lain je kejadian tu..."

Geng 2: "Ajok gocoh mende, dia lari berapok (lintang-pukang) mitok tolong siap kabo aku kena tindih, aku kena tindih...muka pucat kesi...."

Sejak dari hari tu, W segan nak landing atas katil aku...Katil dia bolok penuh buku, katil orang gok jadi mangsa.... 

Tapi W tetap orang respek... Semua sahabat sayang dia... Identiti W dirahsiakan, yang tahu siapa dia buat2 tak tahu je laa...


Ahad lepas aku tembo 160km/hour ke KT utk ambik ayah aku, sementara tu rasa mcm nak visit pejabat kawan lama.... Tanya khabar.... Sihat molek dia, dan kebetulan ditakdirkan dapat juga jumpa senior SHAMS, the legendary Pok Ya (cakap Arab fluent dari skoloh lagi doh)... Semoga murah rezeki....


 'AZIZ & CO
Kuala Terengganu


"Pok Ya The Legend"

Read more...

Sharing Muzir: Pengajaran Sang Pencerah

May 23, 2011

Pengajaran Dari Filem ‘Sang Pencerah’



Alhamdulillah, saya baru selesai menonton filem Sang Pencerah.  Filem ini mengisahkan ringkasan kisah hidup Kiyai Haji Ahmad Dahlan (semoga ALLAH merahmati beliau) yang merupakan pengasas sebuah organisasi yang diberi nama Muhammadiyyah. 

Filem ini sarat dengan mesej untuk diambil pengajaran oleh kita semua, khususnya buat para pendakwah yang memperjuangkan usaha tajdid, iaitu suatu usaha untuk mengembalikan masyarakat agar kembali kepada ajaran ISLAM yang sebenar, sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.

InsyaALLAH, saya akan berkongsi dengan kalian beberapa pengajaran yang telah saya kutip hasil dari menonton filem yang sangat bagus ini.  Kerana pada saya, walaupun jalan cerita atau kisah hidup seseorang tokoh itu memang sangat bagus untuk diketahui dan didekati, namun pengajaran-pengajaranlah yang lebih utama untuk kita fokuskan.


Peranan akal

Akal adalah kurniaan ALLAH Jalla wa A`la yang sangat besar manfaatnya kepada manusia.  Dengan akal, manusia boleh berfikir.  KH Ahmad Dahlan diceritakan sebagai seorang yang kritis semasa zaman remajanya.  Beliau tidak menurut sahaja apa yang dilakukan oleh masyarakat kampungnya, walaupun amalan itu dikatakan sebahagian dari agama.  Amalan khurafat, tahyul dan pengagungan yang tinggi terhadap pemimpin masyarakat adalah antara amalan yang menyalahi akal seseorang yang waras fikirannya.  Melalui akal yang berfikirlah, maka manusia dapat membezakan mana yang baik dan yang buruk pada peringkat permulaan dan asas.

Hal ini mengingatkan saya akan kisah Nabi Ibrahim `alaihissalam dan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam.  Kebijaksanaan dan fungsi akal yang sihat telah menjadikan dua insan mulia ini tidak terikut-ikut dengan kancah maksiat dan kesesatan masyarakat mereka.  Dengan berfikir dan memaksimakan fungsi akal dengan cara yang betul serta dengan hidayah dan taufiq ALLAH, manusia bisa mengenal kebenaran.


Peranan ilmu

Disebabkan oleh akal dan fikiran remaja Muhammad Darwis (nama asal KH Ahmad Dahlan) yang tidak dapat menerima amalan masyarakat setempat, maka dibuat keputusan oleh beliau untuk menimba ilmu di Makkah, iaitu pusat terkumpulnya para ulama dan ilmu-ilmu ISLAM.  Beliau meluangkan masa beberapa tahun di sana dan bercampur dengan para ilmuan yang berbagai latar belakangnya.  Malah, beliau turut terkesan dengan gerakan tajdid yang dibawa oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad `Abduh.

Kepentingan ilmu mesti selalu ditekankan oleh para ibubapa, ilmu dan pemimpin masyarakat.  Agama yang diamalkan dengan ilmu diibaratkan KH Ahmad Kiyai di dalam filem tersebut sebagai muzik biola yang dihasilkan oleh orang yang pandai bermain biola.  Muziknya mendatangkan kedamaian dan keindahan pada orang yang mendengarnya.  Sebaliknya apabila biola itu dimainkan orang yang tidak mahir, maka bunyi biola yang dihasilkan adalah sumbang dan meresahkan orang sekeliling yang mendengarnya.

Itulah ibarat agama.  Agama apabila dibawa oleh orang yang berilmu akan mendatangkan rahmat dan kesejahteraan kepada ummat.  Samada orang yang beragama Islam atau yang belum beragama Islam akan mendapat 1001 kebaikan daripadanya.  Namun, apabila agama dibawa oleh orang yang tidak berilmu, maka agama akan dilihat oleh masyarakat sebagai menyusahkan, menekan dan banyak unsur-unsur asing turut dianggap sebagai agama.  Hal ini membuatkan manusia semakin menjauh dari agama.  Justeru, adalah penting bagi ummat ISLAM terutama yang menjadi pendakwah mempunyai ilmu yang mantap tentang agama.


Keyakinan

Dengan akal yang waras dan ilmu yang benar, maka akan lahirlah sebuah keyakinan.  Di dalam filem ini, telah dipaparkan betapa KH Ahmad Dahlan sangat yakin dengan perjuangannya.  Walaupun terdapat tentangan yang kuat oleh masyarakat setempat, namun dengan keilmuan beliau maka diteruskan perjuangannya itu.  Bukan mudah untuk membawa perubahan yang sudah sekian lama berakar umbi di dalam masyarakat dengan pelbagai ajaran khurafat, tahyul dan penambahan yang diwarisi oleh generasi demi generasi.  Apatah lagi ini semua direstui oleh pimpinan masyarakat yang berlatarbelakangkan agama, kononnya amalan itu semua adalah sebahagian dari agama. 

Usaha Kiyai Dahlan yang ingin membawa perubahan ini telah ditentang kuat sehingga beliau dituduh kafir dan malah langgar ilmu (sebuah rumah khas untuk pengajian) yang digunakan untuk menyebarkan dakwahnya dirobohkan secara paksa oleh penduduk setempat.  Kekuatan dalaman yang mantap dan keyakinan yang jitu sangat-sangat diperlukan bagi berhadapan dengan cabaran yang besar ini.  Para pendakwah mesti mempunyai nilai ini.  Tanpa keyakinan, perjuangan dakwah bisa runtuh di pertengahan jalan.


Sokongan

Walaupun telah berbekal dengan akal yang sihat, ilmu yang mantap dan keyakinan yang teguh, namun, bukan mudah untuk berhadapan dengan cabaran yang melintangi perjuangan dakwah.  Kadang-kadang hati goyah juga.  Di dalam filem ini, isteri KH Ahmad Dahlan digambarkan sebagai seorang wanita yang patuh dan taat kepada suaminya.  Tidak banyak peranan yang dizahirkan oleh isteri beliau di dalam filem tersebut. 

Namun, pada saat Kiyai Dahlan terasa lemah dan menyoal kepada dirinya kenapalah beliau tidak menurut sahaja masyarakat setempat dan tidak memulakan dakwah perubahan ini, ketika itulah peranan isteri beliau sangat-sangat tertonjol dan memberi kesan yang mendalam buat Kiyai Dahlan.  Isteri beliau mengimbas kembali bagaimana suaminya itu adalah manusia yang istimewa pada matanya sebelum mereka mendirikan rumahtangga.  Kiyai Dahlan bukan seperti pemuda biasa yang menurut sahaja amalan masyarakat setempat.  Disebabkan oleh sikap kritis inilah menjadikan Kiyai Dahlan sangat istimewa pada pandangan isterinya yang ketika itu masih dara remaja.  Jika Kiyai Dahlan bukan begitu orangnya, besar kemungkinan mereka tidak bertemu dan tidak menemui jodoh.  Kata-kata seperti ini dari seorang isteri kepada suami, saya kira bisa memberikan kuntuman bahagia di dalam hati serta mendatangkan kekuatan dalaman yang bertingkat-tingkat.

Hasil tarbiyah Kiyai Dahlan kepada isterinya, isteri beliau berupaya memberikan nasihat agama buatnya pada saat-saat yang genting ini.  Memiliki isteri yang solehah adalah perhiasan yang paling utama di dunia kerana melaluinya hati akan menjadi tenteram dan pendirian akan menjadi teguh.  Betapa besar peranan seorang isteri dalam memberi sokongan kepada seorang suaminya.  Di dalam filem tersebut, isteri beliau telah meletakkan posisi dakwah KH Ahmad Kiyai kembali di atas landasan yang kukuh dengan mengungkapkan ayat al-Quran yang berbunyi:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”  (Surah Muhammad 47:7)

Apabila saya terdengar ayat ini diungkapkan, wah terasa diri disiramkan air kesegaran untuk berdakwah.


Cekal walaupun terpaksa bersendirian

Atas keyakinan beliau bahawa apa yang dibawa beliau adalah benar, maka beliau tetap cekal dengan pelbagai mehnah dan tribulasi yang menimpanya, keluarganya serta anak-anak muridnya.  Memang telah diakui oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bahawa orang yang membawa kebaikan ini akan merasa asing dan diasingkan oleh masyarakat. 

“Sesungguhnya bermula datangnya ISLAM dianggap asing (aneh) dan akan datang kembali asing seperti permulaannya.  Namun berbahagialah orang-orang yang asing itu.”  (HR Muslim) 

Hadith ini selalu saya dengar dan disebut oleh para pendakwah betapa terasingnya rasa diri tatkala ingin menyeru manusia ke jalan kebenaran.  Meremang tengkuk saya apabila hadith ini disebut oleh anak-anak murid KH Ahmad Dahlan di dalam satu babak yang menunjukkan anak-anak muridnya berdiri di hadapannya lalu beriltizam akan berdiri teguh bersamanya walaupun apa cabaran yang bakal mendatang.  Kerana itulah sifat dakwah.


Mencari peluang dan tidak menolak peluang

Dalam menyebarkan dakwah, KH Ahmad Dahlan bukan sahaja menumpukan kepada masyarakat setempatnya sahaja.  Malah beliau sentiasa mencari peluang untuk meluaskan lagi lidah dakwahnya.  Kerjasama dengan pelbagai pihak dengan bermatlamatkan dakwah tidak seharusnya ditolak oleh para pendakwah.


Bantu orang-orang miskin dan anak yatim

Di dalam filem tersebut, sangat nyata ditunjukkan betapa prihatinnya KH Ahmad Dahlan terhadap orang-orang miskin dan anak yatim.  Diberinya makanan, pendidikan dan lain-lain bantuan yang diperlukan. 



Ada satu babak di dalam filem tersebut ketika sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa, KH Ahmad Dahlan dan anak-anak muridnya berhalaqah ilmu terlebih dahulu.  Ditanya oleh salah seorang anak muridnya kenapa kita selalu mengulang-ulang bacaan surah al-Ma`uun, sedangkan banyak lagi surah untuk dibaca dan dibincangkan. 

Lantas ditanya kembali oleh Pak Kiyai kepada anak muridnya itu, “Sudah berapa ramai orang miskin dan anak yatim telah engkau santuni?”  Beliau menambah lagi, “Kita belajar al-Quran bukan untuk segera hafal semuanya, tetapi untuk dilaksanakan ajaran yang terkandung di dalamnya.”  Lebih kurang begitulah kata-katanya. 

Saya kira mesej sebegini jarang ditekankan oleh para guru.  Berbuat baik kepada orang-orang miskin dan anak yatim adalah penting dan kita risau kita nanti digolongkan sebagai orang yang mendustakan agama sebagaimana yang disebut di dalam surah al-Ma`uun, na`udzu billahi min dzalik.


Berorganisasi dan Berpakatan

Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala:

 وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”  (Surah Ali-`Imran, 3:104)

Ayat di atas menjadi alasan yang kuat untuk KH Ahmad Dahlan membentuk satu organisasi yang tersusun bagi menyampaikan usaha amar ma`ruf dan nahi mungkar.

Sepanjang filem ini, telah ditunjukkan beberapa usaha dakwah KH Ahmad Dahlan yang mana beliau tidak hanya menjalankan dakwah ini secara berseorangan.  Beliau telah menjalinkan pakatan dan bergabung dengan lain-lain kumpulan bagi menjayakan seruan pembaharuan ini.  Apabila kita berpakat dengan pihak lain dan ingin berdakwah dalam skala yang lebih besar, maka persiapan dan nilai toleransi mesti ada. 

Kita tidaklah boleh hanya ingin membawa nilai kita sendiri sahaja.  Perlu juga diraikan nilai-nilai lain dari pihak yang kita telah pilih untuk bergabung dengan mereka.  Semua aspek keduniaan boleh kita toleransi dan berlapang dada akannya.  Tetapi, jika bertembung dengan pihak bukan muslim dalam hal agama, maka prinsipnya ialah “lakum dinu kum wa li yadin” iaitu “bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

KH Ahmad Dahlan hanya menubuhkan organisasinya setelah beliau benar-benar bersedia dari segi ilmu dan pengalaman hasil dari belajar dengan lain-lain organisasi yang telah beliau bekerjasama sebelum ini.  Organisasi yang diberi nama Muhammadiyah telah diwujudkan bukan untuk kepentingan peribadi tetapi khas untuk mengatur sosial masyarakat ke arah yang lebih baik dan sesuai dengan ajaran agama ISLAM yang sebenar.


Adab, Adab, Adab

Pada pandangan saya, nilai adab begitu ketara menjadi mesej utama filem ini.  Ditonjolkan di dalam filem ini betapa ahli masyarakat saling hormat-menghormati dan saling menjaga adab sesama mereka.

Memang terdapat unsur kekerasan yang ditunjukkan oleh pemimpin masyarakat di dalam filem ini, namun ia lumrah seorang pemimpin yang ingin menjaga keharmonian dan kemaslahatan masyarakatnya.  Beliau hanya bertindak melindungi masyarakatnya agar tidak dicerobohi dengan unsur-unsur asing yang belum tentu benar atau tidaknya.  Sifat pemimpin masyarakat yang suka bermesyuarat dahulu sebelum membuat keputusan dan menghormati setiap ahli mesyuaratnya sangat perlu dicontohi.

Sebagai pendakwah yang ingin membetulkan ahli masyarakat, KH Ahmad Dahlan di dalam filem ini telah mengajar kita bahawa dakwah mestilah dijalankan dengan penuh adab dab sabar.  Beliau sentiasa menjaga adabnya sebagai seorang yang berilmu dengan semua peringkat masyarakat.  Walaupun beliau rasa perjuangannya benar, namun beliau sentiasa menghormati golongan agama yang terlebih dahulu memimpin masyarakatnya.  Beliau tidak melampaui batas ukhuwwah dalam berdakwah.  Beliau tetap menghormati para ulama tradisi, tetap tidak melangkaui susunan sosial sedia ada, tetap menjaga tata susila dan menjaga perkataan apabila berhujah dengan golongan ulama tradisi, tetap mengikuti peraturan dan amalan setempat dalam batas yang dibenarkan dan banyak lagi elemen-elemen adab yang ditunjukkan di dalam filem ini. 

Saya kira ia boleh diambil iktibar yang banyak oleh para penyeru tajdid yang rata-rata dari golongan muda bagaimana berinteraksi dengan masyarakat secara sejahtera dalam masa yang sama menyebarkan mesej dakwah.  Sekurang-kurangnya dengan menjaga adab, banyak perkara buruk boleh kita elakkan.

Hasil dari adab dan mengutamakan ukhuwwah, akhirnya dakwah tajdid yang dibawa oleh KH Ahmad Dahlan diterima bukan sahaja oleh masyarakat setempat, malah diberi ruang oleh pemimpin agama setempat.  Mereka berlapang dada dalam hal ini, asal sahaja ukhuwwah Islamiyyah terjaga.  Saya cukup terkesan dengan kata-kata berikut yang diungkapkan oleh pemimpin ulama tradisi pada akhir filem kepada KH Ahmad Dahlan ketika mereka bersendirian berdua di dalam masjid: 

“Kita ini sama-sama muslim, sama-sama bersaudara….. Kita lakukan tugas kita masing-masing, melindungi kewibawaan agama kita, kebenaran ada di tangan ALLAH, manusia seperti kita hanya berikhtiar”

Fikir-fikirkan…
Untuk mengenali organisasi Muhammadiyah dengan lebih dekat, mungkin kalian boleh melawat laman web berikut, insyaALLAH:  http://www.muhammadiyah.or.id/

Itulah antara yang sempat saya catitkan di sini.  Sebenarnya banyak lagi, tetapi saya rasa kalian mesti tontonnya sendiri untuk mengutip banyak mesej pengajaran daripadanya, khususnya buat pendakwah yang ingin membawa mesej tajdid bagi mengembalikan semula ummat ke ajaran ISLAM yang sebenar. 

Saya secara peribadi sangat menggalakkan kalian menontonnya.  Filemnya bagus, jalan ceritanya menarik dan sarat dengan pengajaran.  Semoga catitan ini bisa memberi manfaat buat diri saya kalian yang sudi membacanya.
WAllahu Ta`ala A`lam.

[1] AMALKANLAH apa-apa yang baik dari tulisan ini [2] SEBARKAN & KONGSILAH tulisan ini dengan rakan taulan anda [3]Jangan lupa sertakan alamat www.muzir.wordpress.com apabila anda menyebarkan tulisan ini, supaya dapat memudahkan proses rujukan pada masa akan datang [4] KOMEN & PENDAPAT anda amat dialu-alukan. [5] Semoga dengan tuan/puan beramal, menyebarkan dan berkongsi pendapat terhadap tulisan ini, dibalasi ALLAH dengan hasanah, amin.


Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP