Sharing Al-Sakandary : DIET RASULULLAH ?

September 11, 2012

Bertebaran maklumat berkenaan Diet Nabi di Facebook membuat kita terasa ingin beramal dengannya, lebih-lebih lagi zaman sekarang Diet merupakan satu perkara teramat penting dalam rutin harian dan dalam penjagaan kesihatan, demi umur panjang, kekuatan atau lain-lain sebab.  

Tidak dapat dinafikan Islam memang cakna dalam pengambilan makanan Halal dan cakna dalam kesihatan tubuh badan.  Bagaimanapun adakah kita cakna tentang sumber asal perihal Diet Nabi ini, adakah ianya mempunyai usul yang benar dari hadith atau sunnah yang sahih? Atau ianya hanya rekaan manusia yang inginkan orang ramai mengamalkan tabiat yang baik lalu menyandarkan sesuatu pernyataan kepada Rasulullah s.a.w..  

Sahabat saya di Iskandariah, Mesir (pelajar perubatan) adalah salah seorang yang giat mengikuti pengajian hadith dan bertalaqqi dengan ulama di sana menulis :-




Jawapan: 

Bismillah, Alhamdulillah..wa ba'd. 

# Penjelasan status hadith diet Nabi SAW: 

1- Hadith yang dinyatakan dalam poster itu adalah Palsu, kesemuanya adalah Batil, Tiada Asalnya. Kesemuanya tiada dalam al-Qur'an dan tiada juga dalam hadith, baik hadith Sahih, Dha'if ataupun Palsu.

2- Menisbahkan diet sebegini kepada Baginda SAW adalah merupakan satu pendustaan kepada Baginda, celakalah fulan yang mencipta hadith ini dan telah tetap neraka bagi mereka yang menyebarkan poster ini kecuali bagi mereka yang bertaubat. Nabi SAW bersabda dalam hadith yang Sahih: "مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ - Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka" [HR al-Bukhari dan Muslim] 

# Disiplin penting dalam menyebarkan hadith Nabi

3- Ramai manusia suka menyebarkan hadith-hadith Nabi SAW dalam internet terutamanya Facebook. Mereka berniat baik atas alasan sabda Nabi SAW: "بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً  - sampaikan dariku walau satu ayat". 

4- Tetapi mereka lupa lafaz penuh hadith berkenaan berbunyi:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، وَلاَ حَرَجَ ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ 

"sampaikan dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari kisah-kisah Bani Isra'il dan itu tidak mengapa (iaitu tidak berdosa walaupun ia tidak sahih dengan syarat memberitahu ia kisah Bani Israil dan bukan hadith). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". 

5- Jangan baca hadith sekerat saja, tetapi bacalah keseluruhannya. Ketahuilah bahawa hadith yang sama ini padanya galakan dan ancaman, bahagian pertama hadith berbunyi "بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً - sampaikan dariku walau satu ayat" adalah galakan manakala ia diringi dengan ancaman pada bahagian akhir hadith berbunyi: "وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ - dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka". 

6- Oleh itu sebelum anda ingin beramal dengan galakan menyebarkan hadith Nabi SAW itu, jangan lupa ancamannya, tanya dulu diri anda sekurang-kurangnya 3 perkara: 1 - benarkah ia hadith?, 2 - riwayat siapa? , 3- sahihkah ia?. Apabila telah terjawab kesemua 3 soalan asas ini, maka silakanlah menyebarkan hadith itu, jika tidak maka usahlah sebarkan walaupun ayatnya nampak baik dan mampu memberi suntikan jiwa. Kerana tiada lagi yang baik apabila anda telah berdusta kepada Baginda Nabi SAW. 


# Asal usul diet ini

7- Diet ini tiada dalam al-Qur'an atau mana-mana hadith, sebaliknya ia terdapat dalam kitab Taurat dan Talmud kaum Yahudi kini. Amalan diet ini sebenarnya adalah peraturan diet agama Yahudi yang dikenali sebagai "Kosher" (Hebrew = כשר ) atau "Kashrut" (Hebrew = כַּשְׁרוּת). 

8- Kosher/Kashrut adalah set peraturan makanan dalam agama Yahudi sebagaimana yang dijelaskan dalam Torah (Taurat) dan tafsir/syarah bagi Torah iaitu Oral Torah (Talmud). Misalnya larangan memakan daging berserta susu terdapat dalam Exodus 23:19; Exodus. 34:26; serta Deutronomy 14:21 (rujuk disini: http://www.mechon-mamre.org/e/et/et02.htm).

Oral Torah (Talmud) ketika mensyarahkan ayat-ayat ini menyatakan bahawa ia bermaksud daging tidak boleh dimakan beserta susu. Kemudian para Rabbai Yahudi memperluas larangan ini mencakupi ayam, iaitu ayam juga dilarang makan bersama susu. Tidak cukup dengan itu kitab Talmud juga melarang mencampurkan daging dan ikan dalam satu pinggan untuk dimakan bersama. (rujuk: http://www.jewfaq.org/kashrut.htm , http://www.jewfaq.org/kashrut.htm#Rules , http://www.jewfaq.org/kashrut.htm#Separation). 

9- Bagi Yahudi yang beriman dengan Torah dan Talmud, mereka perlu mematuhi peraturan-peraturan makanan ini, kerana ia adalah arahan Tuhan bagi mereka sebagaimana yang dikhabarkan dalam kitab "suci" mereka. Para saintis Yahudi menjelaskan bahawa tanggapan sesetengah pihak bahawa peraturan-peraturan ini mempunyai hikmah agar lebih menyihatkan badan tiada buktinya dari segi sains,

Maka para Rabbai Yahudi menyimpulkan "kita mengikut peraturan ini semata-mata kerana ia arahan Tuhan" atau Islam menyebutnya "ta'abbudi". Para Yahudi mematuhi peraturan makanan ini sebagaimana para Muslimin mematuhi peraturan makanan yang disyariatkan dalam al-Qur'an dan Hadith tanpa soal iaitu dengan semata ta'abbudi. (rujuk: http://www.jewfaq.org/kashrut.htm#Why)

# Melayu ini Islam atau Yahudi?

10- Persoalannya, kenapakah kaum melayu yang "dinobatkan secara percuma" oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai beragama Islam secara tiba-tiba mengekori syariat Yahudi pula??

11- Adakah kamu lupa hadith yang berbunyi "َمَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ - Barangsiapa menyerupai suatu kaum bererti ia termasuk golongan mereka" [Hadith Mauquf Sahih sebagai kata-kata Huzaifah dengan hukum Marfu' , rujuk penjelasan terperinci statusnya disini: http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/11/penjelasan-status-hadith-barangsiapa.html]. 

12- Atau adakah kamu sudah menyerah kalah kepada Yahudi hingga mahu mengikut jejak langkah mereka, lupakah kamu akan firman Allah SWT: "وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡ‌ۗ - Orang-orang Yahudi dan Nasrani sama sekali tidak akan senang kepada kamu hinggalah kamu mengikuti agama mereka" [al-Baqarah: 120]. Dimanakah wala' dan bara' kamu? kepada Allah dan Rasul atau kepada Yahud? 

13- Tidak cukup dengan itu, kenapa perlu berdusta pula kepada Baginda Nabi SAW, mengaitkan sesuatu perkara yang tidak pernah Baginda SAW sebut atau lakukannya, lupakah kamu akan sabda Nabi:  "مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ - Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja (iaitu menyebarkan hadith Nabi tanpa memastikan ia sahih terlebih dahulu) maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka" [HR al-Bukhari dan Muslim]? Adakah Syurga itu terlalu nyaman bagi kamu hingga kamu mahukan panas Neraka? 

# Apakah diet Nabi yang Sahih? 

14- Diet Nabi SAW yang Sahih ialah beliau memakan makanan yang halal dengan jumlah yang tidak banyak, itu sahaja. Thabit dalam hadith Nabi SAW bersabda:  " الْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِي مِعًى وَاحِدٍ وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِي سَبْعَةِ أَمْعَاءٍ - seorang mu'min itu makan dengan satu perut, sedangkan orang kafir makan dengan tujuh perut" [HR al-Bukhari, no. 5392]. 

15- Adapun hadith dengan lafaz "نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع - kami adalah suatu kaum, yang tidak akan makan hingga merasa lapar, jika kami makan maka tidak sampai kenyang" , hadith ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadith Ahlussunnah, baik kutub hadith yang masyhur atau tidak masyhur.

Sebaliknya ia hanya dijumpai dalam kitab syi'ah!! iaitu kitab hadith syi'ah karya al-Sayyid al-Thabathabaie (laknatullah) bernama Sunan al-Nabi (bab makanan dan minuman, halaman 266). Tidak syak lagi bahawa hadith ini adalah hadith palsu, pendustaan kepada Nabi SAW dan berkemungkinan besar ia adalah ciptaan syi'ah (moga Allah melaknat mereka).

Kata-kata ini bukan saja dusta kepada Baginda Nabi SAW, bahkan ia bercanggah dengan sebuah hadith sahih yang menceritakan bahawa Abu Hurairah pernah disuruh Baginda Nabi SAW minum susu hingga perutnya penuh kenyang. Iaitu hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Jami'nya al-Sahih (no. 6452). 

Hadith Abu Hirairah tersebut memberi faedah bahawa bolehnya makan minum hingga perut kenyang, namun kenyang itu bukanlah hingga boleh memudharatkan diri, hingga kenyang masih mahu tetap makan dan makan dengan banyak. [Lanjut rujuk Siri Q&A no. 8 yang lalu disini: https://www.facebook.com/note.php?note_id=186438404777695 ] 


Sekian, Allahua'lam

Muhammad Fathi bin Ali
Ma'had `Aaliy Li Quran wa `Ulimihi - al-Azhar al-Syarif
Iskandariah, Mesir

Read more...

Blog Hijacked

August 07, 2012

Secara random blog kita mungkin akan dihack oleh genius IT yang tak berakhlak.  Dulu pernah website www.taekwondo-terengganu.com (sekarang sudah tukar www.tkd-trg.com) dihack oleh hacker yang bersifat islam ekstrimis (khawarij) kononnya ajak berjihad tapi tak kena cara masuk laman orang buat sampah.  Pernah juga hacker Indon masuk kacau dan kutuk Malaysia...biasa la tu.....  Blog (blogspot) juga tak terkecuali.  Kalau blog anda tak dapat masuk dengan tiba-tibanya ia redirect ke web lain contoh Kunoichi.info .... sila ambil langkah berikut :-

Masuk "Dashboard" (akaun anda di www.blogger.com) - pahtu "Layout" (atau "Page Elements")....pahtu cari sutir-sutir biasanya dekat HTML Code atau widget third party...jumpa je yang ada link web contohnya http : // kunoichi . info / blogger _ buster / tu  (ni taip link ni pun jauh-jauh kut dia generate otomatik) .... Delete atau remove je HTML .  Sebaiknya Clear Cache browser dan restart.... Pinggggggg...molek slalu....

"Grrrrrrrrrr"



Read more...

Warisan Dosa

March 02, 2012

“DALAM ajaran Kristian terdapat dosa Nabi Adam dan Hawa yang ditanggung juga oleh manusia, bagaimana pandangan anda sebagai muslim?”  Saya yakin kebanyakan muslim dengan yakin akan memberi jawaban bahawa semua manusia tidak menanggung dosa dua insan yang awal itu.

Semasa saya kecil dan sehingga remaja, beberapa kali mendengar orang agama mengajarkan bahawa jika seorang kanak-kanak melakukan kebaikan maka pahalanya diberikan kepada ayah dan ibunya.  Begitu pula jika kanak-kanak melakukan kesalahan, maka dosanya ditanggung oleh kedua-dua orang tuanya. Begitulah dahulu pegangan agama saya mengenai dosa dan pahala kanak-kanak.

Kini anak perempuan saya memberitahu bahawa dia diajarkan mengenai dosa dan pahala kanak-kanak sebagaimana saya menerima ajaran itu dahulu.  Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan dalam kalangan muslim kuat berpegang fahaman bahawa sebarang perbuatan baik dan buruk kanak-kanak semuanya ditanggung pula oleh kedua-dua ibu bapanya.  Benarkah wahyu Allah mengatakan begitu?

Dalam facebook meriah pula dengan satu tag mengatakan lelaki yang menikahi seorang perempuan bermakna mesti bersedia menanggung dosa-dosa si isteri kelak!  Begitu banyak yang membuat ‘share’ dalam akaun facebooknya menandakan mereka sangat mempercayai perkara itu sebagai ajaran agama Islam!

Semua yang begitu kuat percaya bahawa dosa dan pahala kanak-kanak serta isteri menjadi tanggungan orang lain, ironisnya percaya pula wahyu Allah yang menerangkan Nabi Nuh tidak terkesan dengan dosa kufur anak lelakinya.  Begitu juga mereka setia percaya bahawa nabi Lut tidak menanggung dosa kufur isterinya di negeri Sodom.  Mereka percaya Allah tidak mengurangkan pun darjat kedua-dua nabi itu atas kekufuran anggota keluarganya.

Begitu banyak ayat al-Quran yang sangat jelas mengenai seseorang manusia tidak dipertanggungjawabkan atas kebaikan dan kesalahan orang lain.  Ayat-ayat itu menjadi hujah terhadap kaum kafir di Makkah dan Madinah, dan menjadi penjelas antara ajaran Islam yang benar dan ajaran nenek moyang yang direka-reka.  Anehnya kita…., al-Quran di hadapan dan dibaca hari-hari tetapi masih berfahaman seperti kaum dahulu.

Berikut maksud beberapa ayat al-Quran yang menjadi hujah jelasnya setiap insan hanya menanggung kesan perbuatan baik dan buruknya sendiri.  Semua ini ayat yang maksudnya jelas, yang tidak perlu takwilan pelbagai maksud lain.

Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.  Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”

Maksud surah al-Isra:15 “Barang siapa berbuat sesuai dengan petunjuk (Allah), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri, dan barang siapa tersesat maka sesungguhnya (kerugian) itu bagi dirinya sendiri.  Dan seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, tetapi Kami tidak akan menyiksa (seseorang/kaum) sebelum Kami mengutus seorang rasul.”

Maksud surah Fatir:18 “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.  Dan jika seseorang yang dibebani berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul bebannya itu, tidak akan dipikulkan sedikit pun meski (yang dipanggilnya) kaum kerabatnya.”

- Kredit kpd Ustaz Nurul Mubin Siraj : "Himbauan Desa"

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP