Bila Terpanggil

May 31, 2009

Bila terpanggil kita pasti pergi lagi. Itulah yang terjadi bila anda pernah menjejak kaki ke Tanah Suci dan setelah meninggalkannya kembali ke tanahair. Kerinduan yang teramat pasti melanda hati. Asalnya bukan dirancang rapi. Tapi isteri saya telah bernazar untuk ke sana jika sakitnya berkurang dan sembuh sedikit. Menjadi rezeki kami pada tahun ini, dengan kerja yang menimbun membolehkan sedikit pendapatan diperoleh sebagai belanja ke sana.

Asalnya pergi berdua dan bercadang membawa bapa mertua saya sebagai teman dan pembimbing kerana beliau sudah kerap semasa mudanya mengerjakan haji dan umrah. Ada sahaja rezeki beliau pasti pergi.

Bila diberitahu hasrat ini, ahli keluarga lain pun nak ikut sama, jadilah bilangan semua ahli kami 10 orang. Ibu mertua dan nenek saya berkerusi roda, no problem at all sebab ahli jemaah ini terdiri daripada hero-hero yang padu tenaganya. Saya tabik bapa mertua saya sebab semua anak-anaknya telah beliau bawa mengerjakan umrah termasuk menantunya (kecuali saya sebab saya sudah pergi sebelum ini). Bagi beliau penting jika ada keupayaan berusaha untuk ke sana bagi mudah mendekatkan diri dengan Allah. Ini pengalaman ketiga isteri saya dan pengalaman kedua saya. Menurut bapa mertua saya, walau berapa kali pun kita pergi ke sana, pengalaman dan dugaan pasti berbeza. Sememangnya benar. Dalam ceramah yang saya dengar, sekaya mana pun muslim itu, jika tidak terbuka hatinya dan tidak ada diperkenan Tuhan untuk ke Tanah Suci, sampai bila pun dia tidak akan menjejak kaki ke Tanah Haram. Apatah lagi jika tiada usaha langsung nak ke sana. Apa-apa pun, perkara pertama yang perlu ada ialah hasrat hati untuk mengenal Makkatul Mukarramah dan Madinatul Munawwarah. Niat itu pembuka amal.

Petikan dari ustazmelaka.net:-

Percaya atau tidak, memang ada kebenarannya bahawa peluang mengunjungi tanah suci adalah atas jemputan Allah swt. Jika belum sampai seru, ertinya Allah belum menjemput untuk menjadi tetamunya dan akan ada sahaja aral yang melintang. Ada kalanya sibuk dan belum ada kelapangan masa. Mungkin juga kerana kesihatan tubuh badan sering terganggu. Hakikatnya, tanpa panggilan Allah untuk menjadi tetamunya, sekalipun telah cukup belanjanya, berkelapangan masa, sihat maka seseorang tidak akan dapat berkunjung ke sana.

Tidak kurang juga mereka yang terciri nama dari tersenarai sebagai tetamu Allah bukan kerana tiada panggilan atau belum dijemput. Tetapi belum mahu dijemput dengan memilih pelbagai alasan untuk membuat penangguhan. Penangguhan dibuat kerana merasakan masih muda dan belum puan enjoy dan berfoya-foya. Alasan mereka nanti setelah kembali ke tanah suci, sudah tidak boleh lagi berjinak-jinak dengan dosa dan maksiat. Mereka menaruh harapan untuk bertaubat di Tanah Suci dan membuat turning point dalam hidupnya.

Penangguhan ke Tanah Suci juga dibuat kerana merasakan keperluan hidup belum cukup. Walaupun pendapatan jauh melebihi belanja sara hidup, namun belum selesa dengan kenderaan dan rumah kediaman yang diduduki dan dimiliki. Duit habis dibelanjakan untuk melengkapkan diri dan tema hiasan rumah agar sentiasa up to date. Sebahagian yang lain pula tertangguh kerana sedar dan insaf diri telah banyak bergelumang dosa dan noda. Mereka sangka buruk terhadap Allah, hati merasa bimbang Allah dan Tanah Suci tidak mahu menerima mereka, lebih-lebih lagi mereka ditakutkan dengan pendedahan pelbagai pengalaman buruk dan tragis oleh majalah-majalah yang tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya semua ini adalah mainan was-was syaitan semata-mata. Maha Suci Allah daripada tidak menerima hambaNya yang datang menyerahkan dirinya kepadaNya. Walau sebesar Jabal Uhud pun dosa yang dibawa oleh hambaNya, mudah bagi Allah untuk mengampunkannya. Bukankah Allah itu Tuhan Yang Maha Pengampun dan Pengasih. Demikian juga di Tanah Suci, bukan sedikit pengalaman yang baik-baik dan ajaib yang berlaku kepada para tetamu Allah. Ada yang sakit melarat, tiba-tiba di sana sembuh. Ada yang hampir muflis, namun luas rezekinya apabila kembali daripada Mekkah. Yang mandul, akhirnya hamil. Ada yang sukar dapat jodoh, namun bertemu jodoh sekembali daripada Mekah dan ada yang bertemu jodoh ketika menjadi tetamu Allah swt.

Ada yang tertangguh untuk ke Tanah Suci semata-mata kerana rasa belum cukup ilmu dan kefahaman tentang haji dan umrah atau ilmu fardu ain yang lain. Demikian juga yang merasakan amalan lain dalam rukun Islam belum lengkap dan sempurna, bimbang sia-sia pergi Mekkah. Tidak kurang juga yang tertangguh kerana tidak menjadikan pemergian ke Tanah Suci keutamaan yang utama. Memang hukum menyatakan bahawa belum wajib jika tidak cukup belanja atau ada yang menghalangnya. Sememangnya di pertengah umur, kerjaya dan keluarga yang sering menjadi keutamaan dan masih belum stabil. Banyak lagi perbelanjaan perlu diutamakan untuk mengisi kehidupan yang singkat ini. Hutang piutang rumah dan kereta, pelajaran dan pendidikan anak-anak dan lain-lain halangan.

Namun dalam kesibukan mengurus hak dan tanggungjawab terhadap kerjaya dan keluarga, ia tidak dapat untuk menggugurkan kewajipan untuk memantapkan kualiti iman dan takwa kepada Allah swt itu. Usaha peribadi untuk tambah kenal Allah dan hampirkan diri kepadaNya melalui iman dan keyakinan, adalah lebih mudah dilakukan dibumi berkah. Latihan menguatkan jiwa dengan daya juang dan pengorbanan, muhasabah diri dan memahami rahsia kerajaan Allah selama ini tersirat nyata adalah lebih mudah apabila berada di bumi Nabi saw dan para sahabat baginda meninggikan syiar Allah swt.

Kita yakin iman dan takwa adalah segala-galanya. Maka pemergian ke Tanah Suci adalah satu perjuangan hidup yang perlu diutamakan. Namun, walau apapun alasannya tidak ke Tanah Suci, pada hakikatnya nama masih belum tercalon dalam senarai tetamu Allah. Sememangnya rezeki dan peluang ke Tanah Suci adalah hak mutlak Allah swt.

Jika pun masih berkesempatan maka bersangka baiklah dengan Allah swt. Mungkin bukan belum dijemput, tetapi sengaja Allah tangguhkan agar bertambah kerinduan kita kepada Baitullah. Semoga kelak apabila kita berkesempatan berkunjung ke sana, maka bertambah rasa syukur atas nikmatNya ketika bertalbiah.


SALAM TOK KU

Read more...

WIDA'AT MIN MUMLIKATIL ARABIYYATIS SA'UDIYYAH

May 29, 2009



SELAMAT TINGGAL KSA ... sekali lagi...

Sekali lagi saya mengucap selamat tinggal kepada Al-Kaabah Al-Musyarrafah dan kepada Maqam Rasulullah S.A.W . Setiap Wida' kita akan berdoa agar kita akan sekali lagi diberi rezeki dan rahmah untuk menjadi tetamu Allah pada masa akan datang. Alhamdulillah kali ini saya merasa pengalaman baru bersama isteri saya. Makkah dan Madinah juga jauh amat jauh berbeza dari pengalaman saya yang lalu.

Kepada rakan yang meminta saya mengirim salam kepada Baginda, saya telah sampaikan. Kepada yang meminta saya doakan untuk kekayaan - saya doakan agar rakan-rakan saya ini dibuka pintu rezeki dan dijemput sebagai tetamuNya suatu hari kelak agar boleh berdoa sendiri dan merasai sendiri kebeseran Ilahi di Tanah Suci.


Malas nak menulis lagi buat masa ni.
Gambar-gambar boleh diakses dalam Picasa saya :-

Read more...

SHAMS - Training Seminar 2009

May 02, 2009

SHAMS Taekwon-Do Club hari ini menganjurkan Seminar Latihan Bersama Master di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. SHAMS adalah singkatan nama sekolah ini, tempat saya menimba ilmu sehingga SPM. Aktiviti ini dianjurkan sepenuhnya oleh pelajar perempuan kelab ini.



Tatkala zaman persekolahan saya, keahlian taekwondo dibuka kepada lelaki sahaja pada awalnya, sewaktu saya dalam tingkatan 4 barulah kelas taekwondo perempuan berjaya dibuka kerana PTNT mempunyai jurulatih wanita, Tg.Norjitah namanya, salah seorang anak didik Master Najmi dari PERKAYA (Pertubuhan Anak-anak Yatim Yayasan Terengganu). Taekwon-Do SHAMS melahirkan aktivis dan pejuang seni selain saya sendiri; Kamal Zaki Lokman, Ahmad Faiz Syahrir Hanafi Rosli (kini bersama Classic TKD di bawah En.Khaldun), Shaharbuden Hussin, Ahmad Rusydan Suhaimi, Hj.Abdul Hafiz Ariffin., Tun Mazukie Tun Ibrahim....dan beberapa lagi lelaki. Kini taekwondo di SHAMS hanyalah dibuka kepada pelajar perempuan. Suatu ketika kelas taekwondo lelaki dibubar oleh seorang guru di situ yang membenarkan Kelab Taekwondo Gemilang beroperasi dengan alasan untuk menyerap masuk pelajar SHAMS ke dalam pemilihan acara-acara yang diiktiraf oleh olimpik....... langsung tak munasabah.... wujud lagikah kelas berkenaan... dengar katanya dah "mampus"...yang masih survive dengan jumlah ahli yang ramai adalah Kelab Taekwon-Do GTF SHAMS.... Fuh!!! Hebat adik-adik saya ni... Saya masih ingat ketika usaha untuk melenyapkan legasi ITF/GTF di sekolah ini, adik-adik inilah yang bangkit mengumpulkan keahlian dan bertegas untuk terus mengadakan latihan di bawah PTNT. Kelas itu kini dibimbing oleh Nasriah Najmi - anak kepada Master sendiri.



Saya kecewa dengan sikap guru yang langsung tidak cakna dengan sejarah taekwon-do SHAMS. Ia bermula pada tahun 1986, seawal penubuhan SHAMS (sekolah ini diasas pada 1984 - kalau tidak silap - dikenali dengan nama Seri Budiman). Master Najmi adalah jurulatih pelopor. Ketika itu penggiat silat juga aktif, namun perihal seni bela diri taekwon-do sebagai seni asing mendapat reaksi negatif pengamal silat, pelajar terutamanya dan ustaz-ustaz yang sempit pemikiran. Sesempit-sempitnya sehinggakan tulisan korea (ITF) yang bermaksud Tae Kwon Do itu pun minta dipadamkan. Maka dengan kebenaran Master Sabree, saya rasa hanya SHAMS sahaja yang dibenarkan mengguna-pakai do-bok tradisional (tanpa apa-apa tulisan di belakangnya) - fuh..hebat SHAMS... Master Najmi pada masa itu mempunyai hubungan baik dengan jurulatih silat di sana. Hari dan masa latihan silat dan taekwondo adalah sama - setiap kali habis latihan semua pelatih-pelatih ini bersalaman dan tidak ada lagi prasangka bahawa seni ini adalah seni "kafir". Ramai pelatih silat tak sangka "keling" yang ajar taekwondo ini datang beri salam - tak jawab berdosa. Tak sampai tahap mengkafirkan - Alhamdulillah - pelajar SHAMS tahu menilai. Amalan bersalam-salaman selepas latihan mengakrabkan lagi hubungan Master dengan guru di sini. Itulah uniknya pada masa itu.



Pelatih di SHAMS yang agak agresif bukan hanya menjalankan latihan di sekolah, bahkan menambah latihan peribadi di Pusat Latihan Kuala Terengganu di Jalan Kamaruddin, pada masa itu center inilah yang terbesar di negeri ini dan pernah digunapakai oleh Gen.Choi Hong Hi. Saya yakin Sdr.Eizam juga pernah menjalani latihan di sini ketika bersama pasukan negara pada tahun 1994. Saya rasa Sdr.Sharifuddin pun lebih-lebih lagi pernah training di sini.



Dalam seminar anjuran pelatih SHAMS ini, pengisian slot pertama diberikan kepada saya dalam penumpuan teknik asas stance dan pattern di peringkat bawahan. Slot terakhir dijana oleh Master Najmi secara ringkas dalam self-defense. Akitiviti diselang-seli dengan beberapa persembahan demo taekwondo anak-anak kecil dari Taska An-Nur dan Do-Jang Kuala Terengganu. Jemputan yang saya terima agak short notice, sehinggakan majlis penutup juga saya terpaksa berucap bagi pihak PTNT, kelam-kabut ucapan saya. sebab tak bersedia. Majlis ditutup secara rasmi oleh Pengetua sekolah tersebut.



Saya boleh berbangga dengan status sekolah ini sebagai salah sebuah sekolah terpilih dalam negeri ini sejak dari zaman persekolahan saya, hingga kini. SHAMS dianggap setara dengan sekolah-sekolah seperti SM Sains Sultan Mahmud dan SMA Tok Jiring. Pada pagi ini sekian lama saya tidak menjejak kaki di tanah SHAMS, akhirnya dengan jemputan kelab tersebut saya dan isteri saya, yang juga bekas pelajar SHAMS, meluangkan masa bersama-sama lebih 200 peserta dari segenap umur.



Seminar yang lebih serius dan pengisian yang lebih teratur harus sentiasa diadakan dalam negeri ini. Saya yakin jurulatih aktif dan penggiat muda yang hadir seperti Rahman, Aizuddin dan Hanif akan lebih menyokong penganjuran seminar sebegini dengan lanjutan masa yang lebih panjang serta pengisian yang lebih serius seperti sains sukan dan pengadilan dalam pertandingan.



Semangat pelatih SHAMS yang tidak luntur saya puji, sokongan jurulatih muda yang hadir saya kagumi.



Pictures taken by Tok Kapor, the camerawoman



More pics in

SHAMS Training Seminar 2009




Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP