Bila Terpanggil

May 31, 2009

Bila terpanggil kita pasti pergi lagi. Itulah yang terjadi bila anda pernah menjejak kaki ke Tanah Suci dan setelah meninggalkannya kembali ke tanahair. Kerinduan yang teramat pasti melanda hati. Asalnya bukan dirancang rapi. Tapi isteri saya telah bernazar untuk ke sana jika sakitnya berkurang dan sembuh sedikit. Menjadi rezeki kami pada tahun ini, dengan kerja yang menimbun membolehkan sedikit pendapatan diperoleh sebagai belanja ke sana.

Asalnya pergi berdua dan bercadang membawa bapa mertua saya sebagai teman dan pembimbing kerana beliau sudah kerap semasa mudanya mengerjakan haji dan umrah. Ada sahaja rezeki beliau pasti pergi.

Bila diberitahu hasrat ini, ahli keluarga lain pun nak ikut sama, jadilah bilangan semua ahli kami 10 orang. Ibu mertua dan nenek saya berkerusi roda, no problem at all sebab ahli jemaah ini terdiri daripada hero-hero yang padu tenaganya. Saya tabik bapa mertua saya sebab semua anak-anaknya telah beliau bawa mengerjakan umrah termasuk menantunya (kecuali saya sebab saya sudah pergi sebelum ini). Bagi beliau penting jika ada keupayaan berusaha untuk ke sana bagi mudah mendekatkan diri dengan Allah. Ini pengalaman ketiga isteri saya dan pengalaman kedua saya. Menurut bapa mertua saya, walau berapa kali pun kita pergi ke sana, pengalaman dan dugaan pasti berbeza. Sememangnya benar. Dalam ceramah yang saya dengar, sekaya mana pun muslim itu, jika tidak terbuka hatinya dan tidak ada diperkenan Tuhan untuk ke Tanah Suci, sampai bila pun dia tidak akan menjejak kaki ke Tanah Haram. Apatah lagi jika tiada usaha langsung nak ke sana. Apa-apa pun, perkara pertama yang perlu ada ialah hasrat hati untuk mengenal Makkatul Mukarramah dan Madinatul Munawwarah. Niat itu pembuka amal.

Petikan dari ustazmelaka.net:-

Percaya atau tidak, memang ada kebenarannya bahawa peluang mengunjungi tanah suci adalah atas jemputan Allah swt. Jika belum sampai seru, ertinya Allah belum menjemput untuk menjadi tetamunya dan akan ada sahaja aral yang melintang. Ada kalanya sibuk dan belum ada kelapangan masa. Mungkin juga kerana kesihatan tubuh badan sering terganggu. Hakikatnya, tanpa panggilan Allah untuk menjadi tetamunya, sekalipun telah cukup belanjanya, berkelapangan masa, sihat maka seseorang tidak akan dapat berkunjung ke sana.

Tidak kurang juga mereka yang terciri nama dari tersenarai sebagai tetamu Allah bukan kerana tiada panggilan atau belum dijemput. Tetapi belum mahu dijemput dengan memilih pelbagai alasan untuk membuat penangguhan. Penangguhan dibuat kerana merasakan masih muda dan belum puan enjoy dan berfoya-foya. Alasan mereka nanti setelah kembali ke tanah suci, sudah tidak boleh lagi berjinak-jinak dengan dosa dan maksiat. Mereka menaruh harapan untuk bertaubat di Tanah Suci dan membuat turning point dalam hidupnya.

Penangguhan ke Tanah Suci juga dibuat kerana merasakan keperluan hidup belum cukup. Walaupun pendapatan jauh melebihi belanja sara hidup, namun belum selesa dengan kenderaan dan rumah kediaman yang diduduki dan dimiliki. Duit habis dibelanjakan untuk melengkapkan diri dan tema hiasan rumah agar sentiasa up to date. Sebahagian yang lain pula tertangguh kerana sedar dan insaf diri telah banyak bergelumang dosa dan noda. Mereka sangka buruk terhadap Allah, hati merasa bimbang Allah dan Tanah Suci tidak mahu menerima mereka, lebih-lebih lagi mereka ditakutkan dengan pendedahan pelbagai pengalaman buruk dan tragis oleh majalah-majalah yang tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya semua ini adalah mainan was-was syaitan semata-mata. Maha Suci Allah daripada tidak menerima hambaNya yang datang menyerahkan dirinya kepadaNya. Walau sebesar Jabal Uhud pun dosa yang dibawa oleh hambaNya, mudah bagi Allah untuk mengampunkannya. Bukankah Allah itu Tuhan Yang Maha Pengampun dan Pengasih. Demikian juga di Tanah Suci, bukan sedikit pengalaman yang baik-baik dan ajaib yang berlaku kepada para tetamu Allah. Ada yang sakit melarat, tiba-tiba di sana sembuh. Ada yang hampir muflis, namun luas rezekinya apabila kembali daripada Mekkah. Yang mandul, akhirnya hamil. Ada yang sukar dapat jodoh, namun bertemu jodoh sekembali daripada Mekah dan ada yang bertemu jodoh ketika menjadi tetamu Allah swt.

Ada yang tertangguh untuk ke Tanah Suci semata-mata kerana rasa belum cukup ilmu dan kefahaman tentang haji dan umrah atau ilmu fardu ain yang lain. Demikian juga yang merasakan amalan lain dalam rukun Islam belum lengkap dan sempurna, bimbang sia-sia pergi Mekkah. Tidak kurang juga yang tertangguh kerana tidak menjadikan pemergian ke Tanah Suci keutamaan yang utama. Memang hukum menyatakan bahawa belum wajib jika tidak cukup belanja atau ada yang menghalangnya. Sememangnya di pertengah umur, kerjaya dan keluarga yang sering menjadi keutamaan dan masih belum stabil. Banyak lagi perbelanjaan perlu diutamakan untuk mengisi kehidupan yang singkat ini. Hutang piutang rumah dan kereta, pelajaran dan pendidikan anak-anak dan lain-lain halangan.

Namun dalam kesibukan mengurus hak dan tanggungjawab terhadap kerjaya dan keluarga, ia tidak dapat untuk menggugurkan kewajipan untuk memantapkan kualiti iman dan takwa kepada Allah swt itu. Usaha peribadi untuk tambah kenal Allah dan hampirkan diri kepadaNya melalui iman dan keyakinan, adalah lebih mudah dilakukan dibumi berkah. Latihan menguatkan jiwa dengan daya juang dan pengorbanan, muhasabah diri dan memahami rahsia kerajaan Allah selama ini tersirat nyata adalah lebih mudah apabila berada di bumi Nabi saw dan para sahabat baginda meninggikan syiar Allah swt.

Kita yakin iman dan takwa adalah segala-galanya. Maka pemergian ke Tanah Suci adalah satu perjuangan hidup yang perlu diutamakan. Namun, walau apapun alasannya tidak ke Tanah Suci, pada hakikatnya nama masih belum tercalon dalam senarai tetamu Allah. Sememangnya rezeki dan peluang ke Tanah Suci adalah hak mutlak Allah swt.

Jika pun masih berkesempatan maka bersangka baiklah dengan Allah swt. Mungkin bukan belum dijemput, tetapi sengaja Allah tangguhkan agar bertambah kerinduan kita kepada Baitullah. Semoga kelak apabila kita berkesempatan berkunjung ke sana, maka bertambah rasa syukur atas nikmatNya ketika bertalbiah.


SALAM TOK KU

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger template Brownium by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP