Zam-Zam Menurut Doktor Haji
April 15, 2010
''Tak makan ubat pun takpa, Air Zamzam kan ada" jawab seorang jemaah semsa mendapat rawatan di klinik Maktab."Pak Cik dah seminggu tak makan ubat!'' Ujar seorang lagi jemaah.''Nak test...Ustaz kata Air Zamzam tu ubat segala ubat'' Tambahnya lagi dengan penuh yakin.“Tapi..saya periksa tekanan darah Pak Cik dan paras gula ni tinggi sangat.” Aku mula sangsi dengan jemaah yang berkata demikian.
Apa bentuk nasihat yang patut aku berikan kepada jemaah haji sebegini. Mengiyakan pegangan mereka seolah-olah membiarkan mereka ingkar dari memakan ubat Kencing Manis atau Darah Tinggi. Menidakkan fahaman yang mereka pegang, seolah-olah menolak sabdaan Nabi mengenai khasiat Air Zam-zam! Malah ada diantara mereka yang meninggalkan terus dari memakan ubat penyakit kronik yang mereka alami sepanjang hidup mereka. Kefahaman yang mereka perolehi ini menyulitkan pihak perubatan untuk member nasihat dan memberi hujah yang kukuh. Mengakibatkan penyakit yang mereka alami sebelum ini menyerang kembali dan akhirnya mengganggu ibadah haji dan umrah yang mereka tunaikan. Air Zamzam ada disegenap tempat di Tanah Suci. Memperolehinya begitu senang sekali samada di hotel tempat menginap mahupun di dalam Masjidil Haram. Pendek kata jika ubat kencing manis yang sepatutnya dimakan tiga kali sehari boleh ditukar begitu sahaja dengan Air Zamzam bergelas-gelas, lebih dari tiga.
Keyakinan Air Zamzam Sebagai Ubat.
Tidak dinafikan bahawa Air Zamzam mempunyai keistimewaan yang tersendiri, sehingga Nabi pernah menyebut akan keistimewaan ini.
ماءزمزم لماشرب له
Ertinya: Air Zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki." (Diriwayatkan dari Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)
Kelebihan ini tidak akan diperolehi pada air lain diatas dunia ini. Seorang pengkaji bernama Tariq Husin pernah mengkaji kelebihan air zam zamzam ini. beliau menyatakan bahawa air Zamzam ini mengandungi garam mineral seperti kalsium dan Magnesium yang tinggi. Sesuai untuk jemaah haji mengerjakan kerja-kerja haji dan Umrah. Amat menakjubkan juga Air Zamzam mengandungi florida dan klorin yang paling sesuai untuk semua makhluk . Sedangkan air Zamzam ini adalah air yang asli, tidak pernah dirawat atau diproses oleh teknologi terkini.
Ahli-ahli ilmu telah meluaskan huraian mereka mengenai dengan hadis di atas. Al-Munawa Rahimahullah Ta'ala telah berkata:
"Air Zam zam ialah penghulu segala air, paling mulia, paling berharga dan paling disukai. Allah Ta'ala telah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim Alaihissalam dengan air Zamzam. Maka begitulah pertolongan yang seperti itu juga boleh diperolehi oleh orang-orang yang selepas baginda, iaitu bagi sesiapa sahaja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk juga kita. Ramai para ulama telah meminumnya kerana sesuatu hajat, dan mereka itu berhasil memperolehinya."
Berkata al-lmam an-Nawawi Rahimahullah sebagai mengulas hadis di atas:
"Maknanya, barangsiapa yang minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperolehi hajatnya itu, Hal ini, telah dicuba oleh para ulama dan orang-orang saleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun hajat dunia, dan Alhamdulillah, semuanya telah memperolehinya." (Lihat Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139).
Al- 'Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah Rahimahullah pula berkata:
"Saya dan juga orang-orang lain sudahpun mencuba berubat dengan air Zamzam. Saya telah berubat dengannya dalam banyak penyakit, dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya sudah menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air Zamzam hampir setengah bulan atau lebih , tetapi tidak merasa lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa."
Menambah lagi al-'Allamah: "Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali, kemudian saya minum, lalu saya mendapati kesembuhan yang sempurna. Semenjak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat." (Lihat Zadul Ma'ad 4/718)
Air Zamzam tiada keistimewaan jika tidak berusaha
Meminum air zamzam untuk mendapatkan manafaat dunia atau akhirat tidak akan berhasil jika tidak kena cara dan tidak mematuhi konsep memohon sesuatu permintaan. Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Begitu juga dengan berubat, ia tidak akan berhasil tanpa melakukan usaha lain. Kalau betul kita merasakan cukup dengan air zamzam sahaja boleh menyembuhkan penyakit, Kerajaan Arab Saudi sepatutnya mengharamkan hospital dan farmasi. Malah Kacip Fatimah dan Minyak Dhab tidak perlu dijual di Bukit Uhud. Air zamzam boleh menyembuhkan penyakit dengan izin Allah. Jika Allah tidak izinkan penyakit kita sembuh minum selori air zamzam pun penyakit kita takkan sembuh. Begitu juga dengan ubat-ubatan, tidak akan sembuh melainkan dengan izin Allah Taala. Jangan kita jatuh syirik dengan mengatakan dengan makan ubat-ubatan atau minum air zamzam boleh menyembuhkan penyakit.
Konsep sebenar yang perlu ada bagi seorang muslim adalah air zamzam itu adalah salah satu ikhtiar dalam berubat. Cuba perhatikan betul-betul tulisan Ibnul Qayyim
...Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali......
Maksudnya beliau telah berusaha mencari ubat dan doktor serta sudah tiada ikhtiar lain dalam menyembuhkan penyakit yang dialami. Air Zamzam menjadi alat untuk berubat pada saat itu. Ianya juga perlu di sertai dengan niat dan keyakinan yang tinggi akan janji Rasulullah tersebut.
Konsep ini sama juga dengan permohonan-permohonan lain semasa meminum air zam-zam. Cuba lihat apa yang dinukilkan oleh Imam Al-Jalal Assayuti;
"Dengan memuji Allah Ta'ala, saya sudah musafir ke negeri-negeri Syam, Hijaz, Yaman, India dan Maghribi. Apabila saya menunaikan haji, saya telah minum air Zamzam bagi beberapa perkara yang berikut, antaranya: Agar saya sampai (mahir) dalam ilmu fiqeh sehingga mencapai mertabat Asy-Syeikh Sirajuddin al-Bulqini. Dalam ilmu hadis sehingga saya mencapai mertabat al-Hafiz lbnu Hajar." (Lihat Husnul Muhadharah 1/215 dan 2/296).
Imam As Sayuti tidak menjadi ulamak besar semata-mata dengan meminum air zamzam, tetapi perlulah disusuli dengan mengadap guru, menelaah kitab dan mengikuti perbincangan ilmiah. Ilmu tidak datang bergolek tanpa usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal. Air Zamzamlah sebagai pemacu kepada usaha dan ikhtiar itu.
Inilah ulasan saya ketika bersemuka dengan jemaah haji yang mmeberikan alasan meminum Air Zamzam menggantikan ubat biasanya.
Read more...