Maqamun Nabiyyi
June 03, 2009
Makam Rasullullah SAW terletak di sebelah Timur Masjid Nabawi. Di tempat ini dahulu terdapat dua rumah, iaitu rumah Rasulullah SAW bersama Aisyah dan rumah Saidina Ali dengan Fatimah.
Sejak Rasulullah SAW wafat pada tahun 11 H (632 M), rumah Rasullullah SAW terbahagi kepada dua iaitu bahagian arah kiblat (Selatan) yang menempatkan makam Rasulullah SAW dan bahagian Utara pula adalah tempat tinggal Aisyah.
Sejak tahun 678 H. (1279 M) Kubah Hijau (Green Dome) dibina di atas Makam yang mana kubah tersebut masih lagi kelihatan utuh dan menjadi penanda penting sehingga sekarang. Tepat di bawah Kubah Hijau itulah jasad Rasullullah SAW dimakamkan. Di situ juga dimakamkan dua orang sahabat iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq (Khalifah Pertama) dan Saidina Umar Al-Khattab (Khalifah Kedua).
Kalau dahulu saya masih sempat menghampiri pagar makam dan cuba mengintai dalamnya, tapi kini kawalan semakin ketat, pelawat langsung tidak dibenarkan menyentuh pagar. Sememangnya kawalan sebegini terpaksa diadakan oleh kerana terdapat jemaah yang bertindak taksub dan melakukan perkara bida'ah seperti menangis, meronta dan mengusap-usap pagar dan sebagainya. Alhamdulillah jemaah dari Malaysia tidak ada yang bertindak demikian.
Menziarahi Makam Rasul sama seperti menziarahi perkuburan, kita disunatkan memberi salam dan seterusnya berdoa mengadap kiblat. Walaupun ada bentuk salam yang khusus dan panjang untuk Rasulullah dan dua sahabat di makam ini, ayat pendek dan yang termudah adalah lebih baik seperti "Assalamualaika Ya Rasulallah" dan untuk dua sahabat seperti "Assalamualaika Ya Aba Bakri" - "Assalamualaika Ya Umar".
Sebenarnya untuk memberi salam dan menyampaikan salam dari rakan kita yang mengirim tidak semestinya dibuat dengan melalui atau mendekati Makam. Di luar Masjid pun boleh jika didapati tempat itu penuh jemaah. Alhamdulillah saya telah menyampaikan salam daripada rakan dan ahli keluarga saya yang pohon disampaikan salamnya kepada Nabi Agung kita. Dikisahkan oleh Muttawwif kami bahawa setiap ziarah ke Makam Rasul dan salam yang diberi atau disampaikan akan dijawab oleh Nabi kita seolah-olah ianya diberi semasa hidupnya.
Masih kedapatan yang tidak memahami tentang adab berdoa - masih ada yang menadah tangan mengadap Makam dan membelakangi kiblat. Biasanya penjaga Makam akan menegur supaya berpaling ke arah kiblat. Pengawal Makam pula akan memastikan jemaah tidak berhenti terlalu lama dan disuruhnya cepat-cepat bereda agar tidak mengganggu laluan.
Raudhah
Biasanya selepas kita melalui kawasan Makam terus sahaja kita cuba mendapatkan tempat di Raudhah.
Raudhah terletak "antara Mimbar Nabi dan Rumahnya". Tempat ini mudah dikenalpasti kerana warna permaidaninya berlainan iaitu berwarna hijau dan ditanda dengan tiang putih yang bercorak. Raudhah bermaksud "Taman" dan juga salah satu nama syurga.
Pada musim Haji, memang sukar untuk kita mendapat tempat untuk sembahyang di kawasan ini. Sebab itu jika kita dikurniakan rezeki dan diizin Allah, ziarahlah ke Tanah Haram di luar musim Haji agar kita merasai kedinginan berdoa di Raudhah.
Tempat ini tetap sibuk dan sentiasa penuh walaupun di luar musim Haji. Jika kita ingin mendapat tempat, dapat sahaja masuk kawasan Raudhah, cuba tetapkan kedudukan dan jangan berganjak untuk mencari tempat kosong kerana sememangnya tidak akan ada atau payah sangat untuk mendapat peluang sebegitu. Jadi, kita cuba berdiri begitu hampir dengan seseorang yang sedang solat atau berdoa, tunggu sehingga dia habiskan solat dan doanya dan terus sahaja kita ambil tempatnya. Kadang-kadang kita perlu juga meminta belas supaya orang itu beredar dan memberi peluang kepada kita. Itulah nasihat Muttawwif.
Ziarah Wida'
Sebelum meninggalkan Madinah Al-Munawwarah, biasanya jemaah menziarahi Makam Nabi dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Amalan ini hukumnya tidak wajib, tidak seperti Tawaf Wida' (apabila meninggalkan Makkah Al-Mukarramah). Semasa Ziarah Wida' selepas mengucap salam seperti biasa, kita mengiringi doa dan dalam doa itu kita memohon kepada Allah supaya ziarah ini tidak akan menjadi ziarah yang terakhir buat kita dan semoga dilimpahi rezeki serta peluang untuk kita hadir lagi di sini pada masa akan datang.
2 comments:
Salam, kenangan sembahyang sunnat di Raudhah, tak tau nak cakap betapa nikmatnya rasa. Masa nilah nak tengok orang yang taksub- dinding , tiang pun nak usap dan cium sambil menangis yang mana mengganggu orang lain.
Masih ada yg buat mende2 tu. Kami bawak anak saudara (budak U), byk soalan dia - sblm dia tiru org2 tu dia tanya dulu..."Sunat ke gosok dinding ni?" ... Nasib baik bertanya... Kalau tak ikut idea dia masa tawaf pun nak short-cut kut Hijr Ismail.
Post a Comment